PUTRAJAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah memberikan semua input dan fakta kepada ketua perunding Malaysia untuk persediaan rundingan tarif rasmi akan datang dengan Amerika Syarikat (AS).
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, walaupun AS bukan pasaran eksport yang besar bagi minyak sawit, namun ia masih pasaran yang penting dengan nilai eksport hampir RM4.9 bilion setahun.
Katanya, pasaran utama minyak sawit negara adalah China, India dan Eropah yang menyumbang lebih 40 peratus nilai eksport.
“Namun secara keseluruhan, nilai eksport komoditi Malaysia ke AS mencecah sekitar RM21 bilion setahun, merangkumi produk sawit, getah, perabot dan koko.

“Kita telah memberikan semua input dan fakta diperlukan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk mereka bersedia dalam rundingan dengan AS membabitkan sektor komoditi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Malam Gala Jubli Perak MPOB di sini malam ini.
MITI melantik Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan),Mastura Ahmad Mustafa, salah seorang penjawat awam kanannya yang paling berpengalaman, sebagai ketua perunding Malaysia untuk rundingan tarif rasmi akan datang dengan AS.
Pada majlis tersebut, Johari turut melancarkan portal rasmi sempena sambitan ulang tahun MPOB yang ke-25.
Johari dalam ucapannya berkata, pada 2024, Malaysia telah mencatatkan pengeluaran sebanyak 19.3 juta tan minyak sawit mentah dan menjana pendapatan eksport sebanyak RM114.4 bilion, di mana minyak sawit kekal sebagai penyumbang ketiga terbesar kepada eksport negara.
“Bagi memastikan industri sawit dapat terus menyumbang kepada ekonomi negara, satu pendekatan holistik amat diperlukan.
“Usaha-usaha kita akan berfokus kepada peningkatan hasil melalui penggunaan bahan tanaman yang berkualiti tinggi dan kadar penanaman semula sawit mengikut tahap yang disarankan, teknologi pengilangan dan pemprosesan yang terkini, serta jaminan kualiti produk sawit yang mampan.
“Dalam situasi pasaran minyak sayuran dan lemak global yang dinamik dan persaingan yang semakin sengit, kita perlu bersedia untuk berdepan dengan peraturan antarabangsa serta kehendak pasaran khususnya pengeluaran mampan.
“Sehubungan itu, aspek kawal selia industri bagi pematuhan pelesenan dan peraturan perundangan dapat memastikan perkembangan industri yang dinamik dan teratur serta penghasilan produk berkualiti,” katanya.
Turut diadakan penyampaian Anugerah Jubli Perak MPOB kepada rakan strategik, tokoh industri, tokoh MPOB, Tokoh Pekebun Kecil Sawit, Ikon MPOB dan penghargaan kepada rakan media.
Utusan Malaysia turut menerima Anugerah Jubli Perak MPOB, penghargaan kepada Rakan Media yang disampaikan kepada Penolong Pengarang Ekonomi, Nurfarahin Hussin. – UTUSAN










