Saham berkaitan Petronas merosot susulan isu operasi di Sarawak - Utusan Malaysia

Saham berkaitan Petronas merosot susulan isu operasi di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saham-saham berkaitan Petronas merosot susulan kebimbangan terhadap isu operasi anak syarikat Petronas, Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) di Sarawak.

Pada pukul 5 petang, harga saham Petronas Dagangan Bhd (PetDag) susut XX sen kepada RM19.66 dengan 64,300 saham didagangkan, harga saham Petronas Gas Bhd (PetGas) jatuh 28 sen kepada RM17.22 dengan jumlah dagangan 91,500 saham, manakala harga saham Petronas Chemicals Group (PCG) turun 20 sen kepada RM3.47 dengan lima juta saham bertukar tangan.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ketidaktentuan yang timbul kesan daripada laporan tersebut menyumbang kepada aktiviti jualan saham dalam kalangan pelabur.

“Secara umumnya, apabila berlaku ketidakpastian dalam pasaran, pelabur akan mengambil langkah berjaga-jaga dan cenderung untuk menjual pegangan mereka kerana sebarang maklumat, sama ada sahih atau tidak, boleh menimbulkan keresahan.

“Dalam konteks hubungan antara Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) ini semestinya proses rundingan bagi menyelaraskan operasi kedua-dua pihak masih berjalan.

“Namun saya percaya satu kata sepakat akan dicapai kerana kedua-dua pihak saling memerlukan antara satu sama lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Kerajaan nege­ri Sarawak menghantar surat tun­tutan kepada (PCSB atas dakwaan me­lakukan pelanggaran atau ke­tidakpa­tuhan terhadap Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.

Pelanggaran itu membabitkan operasi sebuah loji milik PCSB di Miri Crude Oil Terminal (MCOT) di Lot 915-916, Lorong 1A-1A, Desa Senadin, 98100 Mi­ri, Sarawak.

Kerajaan negeri melalui Kementerian Utili­ti dan Telekomunikasi Sarawak mendakwa, loji berkenaan beroperasi seca­ra haram atau tanpa permit di bawah Seksyen 7(e) DGO 2016.

Menurut surat dari kementerian itu yang dilihat Utusan Malaysia, Seksyen 7(e) merujuk kepada aktiviti mem­bina, mengurus atau menyelenggara saluran paip gas atau peralatan, kelengkapan atau mekanisme lain bagi tujuan pengagihan gas.
Laporan itu menyatakan kerajaan negeri telah memberi tempoh 21 hari kepada PCSB dari tarikh surat tersebut untuk mendapatkan lesen atau berdepan dengan tindakan penalti.

Afzanizam berkata, tahap ketidakpastian ketika ini bergantung kepada maklumat lanjut yang bakal dikongsikan secara rasmi oleh Petronas atau kerajaan negeri Sarawak.

“Jika ada sidang media atau kenyataan rasmi, ia mampu menjernihkan keadaan dan mengurangkan ketidaktentuan yang melanda pasaran,” ujarnya.

Mengulas kemungkinan penjualan besar-besaran saham oleh pelabur, beliau menyifatkan ia sebagai reaksi terhadap ketidaktentuan semasa.

“Sekiranya wujud kenyataan rasmi daripada pihak yang bertanggungjawab, ia akan membantu menstabilkan semula sentimen pelabur,” katanya.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, penurunan harga saham itu dipercayai berpunca daripada kebimbangan segelintir pelabur terhadap spekulasi mengenai kemungkinan kesan daripada pendirian Sarawak terhadap syarikat berkaitan petroleum.

Bagaimanapun katanya, kejatuhan saham tersebut bersifat sementara memandangkan asas syarikat kekal kukuh.
“Namun begitu, majoriti pelabur, terutamanya pelabur institusi, dilihat masih mengekalkan keyakinan terhadap prestasi jangka panjang syarikat tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×