Diskaun 30 peratus untuk pemegang Kad Pekerja Madani

Diskaun 30 peratus untuk pemegang Kad Pekerja Madani

KONTINJEN pelbagai agensi kerajaan dan swasta menghadiri Sambutan Hari Pekerja 2025 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan mem­­perkenalkan Kad Pekerja Madani kepada lebih satu ju­ta ahli kesatuan sekerja se­­­bagai inisiatif membantu men­­jaga kebajikan golongan pekerja.

Kad itu memberi akses dis­kaun sehingga 30 peratus di lebih 100 syarikat yang me­nawarkan barangan ke­perluan dan perkhidmatan di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif kad tersebut ketika sambutan Hari Pekerja 2025 di Arena Axiata, Bukit Jalil di sini, semalam.

Beliau berkata Kad Pekerja Madani itu akan memberikan ahli kesatuan diskaun ketika berbelanja.

Antara syarikat yang terli­bat menawarkan akses diskaun itu termasuk AEON, Mydin, Jakel, Marrybrown, Genting, Old Town White Coffee, Zuss Coffee, SOCAR dan Bateriku.

Perdana Menteri berkata, golongan pekerja tanpa me­ngira pangkat dan latar belakang merupakan pemangkin yang menggerakan sesebuah negara untuk menjadi hebat dan berdaya saing di persada antarabangsa.

Kata beliau, sumbangan golongan pekerja yang memainkan peranan penting, adalah penggerak perubahan sekali gus membantu menca­tatkan kejayaan bagi sesebuah negara termasuk Malaysia.

“Negara ini masih berdepan pelbagai cabaran. Hari-hari kita dihadapkan dengan isu besar seperti krisis di Palestin dan ketidaktentuan global, terma­suk tindakan sesuka hati kuasa besar seperti Amerika Syarikat.

“Namun, kita tetap mampu mara jika semua bekerja dengan tekun, ikhlas dan penuh iltizam. Tidak kira sektor mana, pekerja yang berpegang kepada nilai keikhlasan dan kepercayaan kepada negara pasti menyumbang kepada pembentukan negara hebat,” katanya.

Turut sama hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri berkata, golongan pekerja merupakan kumpulan majoriti di negara ini yang bukan sahaja me­nyumbang kepada kejayaan ne­gara malah menentukan masa depan sendiri.

“Golongan pekerja ini majo­riti yang tentukan siapa Perdana Menteri, (gabungan mana) bentuk kerajaan dan dasarnya. Jika pekerja bersatu, merekalah menentukannya bukan orang lain,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan pentadbirannya juga bertekad untuk terus mengangkat martabat pekerja di negara ini ke tahap yang lebih baik, tanpa mengira latar belakang kaum, warna kulit atau kepercayaan agama.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pekerja supa­ya tidak membiarkan unsur perpecahan yang berpunca daripada perbezaan kaum dan fahaman politik terus menghantui negara ini kerana ia menghalang produktiviti dan perkhidmatan masing-masing.

Katanya, beliau akan te­rus membela nasib golongan pekerja dengan menaik taraf kehidupan seluruh masyarakat termasuk membabitkan isu gaji, perumahan dan sebagai­nya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, kerajaan membentangkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig pada sidang Parlimen akan datang bagi menyelesaikan masalah kira-kira 2.2 juta pekerja dalam sektor tersebut.

Beliau mengakui masih ada kekurangan terhadap beberapa aspek yang memerlukan pembaikan khususnya dalam menjaga kebajikan kumpulan pekerja dalam sektor ber­kenaan.

“Insya-Allah, kekurangan seperti yang dihadapi pekerja gig akan kita selesaikan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang akan kita bentangkan dalam sidang Parlimen akan datang,” kata­nya.

Terdahulu, Steven Sim dalam ucapannya berkata, di bawah pimpinan Perdana Menteri, kerajaan sudah menyiapkan draf RUU Pekerja Gig yang disifatkan sebagai bersejarah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×