PETALING JAYA: Skuad badminton negara tidak mempunyai pilihan selain mencipta kemenangan ke atas Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan C Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China, hari ini untuk mengelak pertembungan dengan pasukan gergasi di peringkat awal.
Malaysia yang sebelum ini sudah pun mengesahkan tiket ke suku akhir selepas menewaskan Australia 4-1 kelmarin dan mudah mengetepikan cabaran Perancis 5-0 berdepan ujian sebenar menentang pilihan ketiga, Jepun.
Walaupun undian akan dilakukan sekali lagi bagi peringkat suku akhir namun skuad badminton negara boleh menempah laluan lebih mudah dengan menempatkan diri dalam balang juara kumpulan.
Itu bermakna, Malaysia perlu mengesahkan tempat selaku juara kumpulan meskipun terpaksa berdepan Jepun yang dijangka menurunkan perseorangan lelaki seperti Koki Watanabe dan Kodai Naraoka.
Pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen menggesa agar pemain negara untuk bersedia memandangkan lawan terdahulu Perancis dan Australia tidak menguji kemampuan sebenar mereka.
“Secara keseluruhan, saya gembira dengan empat kemenangan daripada empat pemain yang diturunkan setakat ini, walaupun mereka berdepan lawan pada tahap berbeza. Namun, sudah tentu ada perkara-perkara kecil yang perlu diperbaiki bagi membawa permainan ke tahap seterusnya. Apa yang pasti, lawan selepas ini, termasuk Jepun berada pada tahap jauh lebih tinggi,” katanya.
Sebagai rekod, Malaysia masih belum pernah menjulang trofi Piala Sudirman sejak kejohanan diperkenalkan pada 1989 dengan pencapaian terbaik adalah layak ke separuh akhir tiga kali iaitu pada 2009, 2021 dan 2023. – UTUSAN











