Hartanah Kenyalang sasar RM19.3 juta melalui IPO

Hartanah Kenyalang sasar RM19.3 juta melalui IPO di Pasaran ACE

SEAH Boon Tiat (tiga dari kiri) bersama barisan pengurusan kanan kumpulan semasa majlis pelancaran prospektus syarikat itu di Kuching, Sarawak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Hartanah Kenyalang Berhad (Hartanah Kenyalang) menyasarkan raih RM19.3 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) berdasarkan harga IPO sebanyak 16 sen sesaham. 

IPO Hartanah Kenyalang melibatkan tawaran awam sebanyak 198.4 juta saham biasa yang terdiri daripada terbitan awam 120.9 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 77.5 juta saham sedia ada, secara kolektif mewakili 32 peratus daripada modal saham diterbitkan yang diperbesarkan sebanyak 620.0 juta saham biasa.

Berdasarkan modal saham diterbitkan yang diperbesarkan sebanyak 620.0 juta saham biasa dan harga IPO 16 sen sesaham, Hartanah Kenyalang dijangka akan mempunyai permodalan pasaran anggaran sebanyak RM99.2 juta.

Pengarah Urusan Hartanah Kenyalang, Seah Boon Tiat berkata, kumpulan telah mengalami pertumbuhan yang ketara sepanjang 11 tahun sejarah operasinya dalam industri pembinaan di Sarawak. 

“Hari ini, kami amat teruja untuk memulakan fasa baharu dalam perjalanan korporat kami iaitu impian untuk menjadikan Hartanah Kenyalang sebagai sebuah syarikat tersenarai awam di Pasaran ACE yang bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

“Di bawah Belanjawan Sarawak 2025, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM10.9 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur di Sarawak. 

“Ini memainkan peranan penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negeri dan mempertingkatkan kesalinghubungan di Sarawak. 

“Dalam pada itu, kira-kira RM1 bilion turut diperuntukkan khusus bagi pembinaan pelbagai jalan raya dan jambatan untuk menambah baik infrastruktur darat di Sarawak menerusi Belanjawan Pembangunan 2025 negeri,” katanya dalam kenyataan. 

Sebanyak RM3.0 juta atau 15.5 peratus hasil IPO diperuntukkan untuk pembelian jentera baharu dan perkakasan serta perisian berkaitan teknologi maklumat (IT) dan RM10.5 juta (54.2 peratus) diperuntukkan sebagai modal kerja projek. 

Sementara itu, sebanyak RM2.1 juta (10.9 peratus) digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan  RM3.8 juta (19.4 peratus) untuk menampung anggaran perbelanjaan penyenaraian.

Menurutnya, dengan latar belakang prospek pertumbuhan sektor pembinaan di Sarawak, kumpulan merancang untuk menggunakan sebahagian daripada hasil IPO untuk membeli enam jentolak baharu bagi menggantikan jentera lama untuk meningkatkan kapasiti dan produktiviti. 

“Selain itu, kami juga bercadang untuk meluaskan tawaran perkhidmatan kepada reka bentuk dan bina bagi segmen perkhidmatan pembinaan bangunan dan perkhidmatan pembinaan infrastruktur, dengan melabur dalam sistem Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM). 

“BIM adalah teknologi yang dapat mendigitalkan pelbagai aspek projek pembinaan, membolehkan kerjasama lancar antara pemilik projek, arkitek, perunding, jurutera dan kontraktor melalui model tiga dimensi.

“Sehingga 30 April 2025, kami telah menyertai tender untuk pelbagai projek pembinaan bangunan dan infrastruktur dengan nilai kontrak terkumpul sebanyak RM451 juta iaitu RM311 juta adalah berkaitan dengan projek pembinaan reka bentuk dan bina,” ujarnya.

Syarikat itu yang dijadualkan tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 9 Jun 2025.

TA Securities Holdings Berhad (TA Securities) bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penjamin Tunggal dan Ejen Penempatan Tunggal bagi Hartanah Kenyalang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×