PETALING JAYA: Ketika pandemik Covid-19 semakin serius dengan rekod peningkatan kes mencecah lebih 4,000 sehari selain kewujudan lima varian baharu orang ramai terus-menerus cuba nasib memohon untuk rentas negeri.
Purata sehari permohonan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkau 30,000 dan jumlah itu terus meningkat menjelang Hari Raya Aidilfitri dijangka disambut Khamis ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteramam Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar berkata, sebanyak 139,974 permohonan rentas negeri diterima PDRM sejak Jumaat lalu sehingga kelmarin di seluruh negara.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, 46,685 permohon dibuat Jumaat diikuti 36,989 (Sabtu) dan 56,300 (Ahad).
Bagaimanapun, Abd. Rahim memberitahu, hanya 132,374 permohonan diluluskan manakala 7,600 ditolak kerana tidak mempunyai alasan kukuh.
“Lima negeri mencatatkan permohonan tertinggi iaitu Selangor dengan 27,311 permohonan diikuti Kedah (14,326 permohonan), Kelantan (13,933 permohonan), Perak (12,730 permohonan) dan Johor (11,231 permohonan).
“Bagaimanapun, tidak semua permohonan diluluskan, hanya mereka yang benar-benar mempunyai keperluan mendesak seperti kematian, urusan kecemasan dan keperluan lain yang kita rasa perlu dibenarkan untuk dipertimbangkan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Tegas beliau, polis juga akan terus menjejaki individu atau mereka yang merentas negeri secara ‘curi-curi’ termasuk dengan taktik menaiki perkhidmatan awam seperti bas, kereta api dan kapal terbang yang sebahagian besar untuk menyambut hari raya.
Kata Abd. Rahim, pemeriksaan akan dilakukan pasukan pemantau di lokasi-lokasi tersebut dan sekiranya ada individu menaiki kenderaan awam tanpa alasan munasabah mereka tidak akan dibenarkan meneruskan perjalanan.
“Kita tidak akan menerima alasan sudah beli tiket sejak tiga bulan atau dua bulan sebelum. Jika kita dapati mereka tidak ada alasan kukuh untuk rentas negeri, mereka akan dihalang untuk menaiki pengangkutan awam.
“Jika ada yang masih degil dan sudah terlepas keluar, sampai sahaja di destinasi yang dituju, pemeriksaan akan dilakukan dan tindakan kompaun akan dikeluarkan serta-merta,” jelasnya.
Dalam pada itu, menurut beliau, masyarakat dinasihati agar memerhati kawasan kejiranan mereka dan memaklumkan kepada polis sekiranya terdapat individu mengadakan rumah terbuka dan berkumpul dalam jumlah yang ramai di dalam sebuah rumah.
Menurut Abd. Rahim, maklumat seumpama itu bagi membolehkan polis mengambil tindakan terhadap individu degil dan seterusnya dikhuatiri menjadi punca penularan Covid-19.
“Kompaun akan dikeluarkan kepada pemilik rumah dan jika sewaktu pemeriksaan mendapati semua individu tidak mematuhi SOP, kompaun turut dikeluarkan kepada setiap individu yang ada situ,” kata beliau.
Terdahulu, semua aktiviti rentas negeri dan daerah di seluruh negara tidak dibenarkan berkuat kuasa semalam sehingga 6 Jun ini kecuali dengan kebenaran polis.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu semua aktiviti sosial, pendidikan dan aktiviti ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan atau kesesakan turut dilarang.
Turut tidak dibenarkan ialah aktiviti rasmi, sosial dan aktiviti bersemuka oleh kerajaan dan swasta.
Susulan pengumuman tersebut, PDRM mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di kebanyakan sempadan negeri di seluruh negara bagi memastikan pematuhan arahan kerajaan itu.
Susulan SJR itu hampir semua laluan tersebut sesak teruk dengan orang ramai ramai `meluah’ perasaan tidak puas hati di media sosial kerana mendakwa terpaksa menempuh kesesakan hingga ada sampai tiga jam. – UTUSAN
INFOGRAFIK
Jumlah pemohon rentas negeri 7-9 Mei 2021
Perlis : 1,089
Kedah : 14,326
Pulau Pinang : 5,593
Perak : 12,730
Selangor : 27,311
KL : 9,081
N9 : 7,045
Melaka : 5,338
Johor : 11,231
Pahang : 7,674
Terengganu : 7,128
Kelantan : 13,933
Sabah : 8,617
Sarawak : 8,878
Jumlah : 139,974











