KANGAR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu meminda dahulu perlembagaan jika mahu merelisasikan penggabungan persatuan bola sepak negeri (FA) dan kelab (FC).
Ia perlu bermula dengan FAM mengubah syarat-syarat tertentu bukan bergantung kepada persetujuan atau perancangan negeri masing-masing memandangkan FA dan FC mempunyai peranan serta fungsi berbeza.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Zamri Ibrahim berkata, bagaimana penggabungan boleh berlaku sedangkan fungsi dan peranan dua badan berkenaan juga sudah berbeza mengikut syarat yang telah ditetapkan FAM sebelum ini iaitu persatuan bola sepak negeri hanya terlibat sebagai badan kawal selia, pembangunan dan pentadbiran.
Katanya, persatuan bola sepak negeri tidak terlibat dengan kejohanan khususnya Liga Malaysia sebaliknya hanya menyelia kelab-kelab di bawah gabungan badan berkenaan.
Beliau berkata, kelab pula lebih kepada pihak swasta yang menguruskan.
“Perkataan gabung ini seperti tidak sesuai melainkan syarat-syarat tertentu oleh FAM itu diubah memandangkan dua badan itu mempunyai fungsi yang berbeza.
“FAM punya syarat hanya kelab boleh main liga manakala FA lebih kepada pembangunan dan kawal selia.
“Ia kena jelas bukan mudah penggabungan ini, perlu perjelas dan perincikan mekanisme dan sebagainya terlebih dahulu.
“Perlembagaan FAM kena ubah dahulu namun ia juga perlu selari atau tertakluk dengan FIFA,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, penggabungan FA dan FC bergantung kepada persetujuan dan perancangan negeri masing-masing.
Presiden FAM. Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub dilaporkan berkata, cadangan untuk mewujudkan gabungan itu perlu berpandukan kepada struktur dan keperluan negeri terbabit.
Kata Mohd. Joehari, tidak semua mempunyai situasi yang sama kerana terdapat negeri yang struktur bola sepaknya didominasi pihak swasta manakala ada juga yang bergantung kepada FA.
Laporan Utusan Malaysia sebelum itu, memetik pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd Karim mencadangkan agar FA dan FC bergabung di bawah satu bumbung sebagai jalan penyelesaian mengatasi masalah kewangan pasukan. – UTUSAN










