Para pengguna berhak tahu harga ubat

Para pengguna berhak tahu harga ubat

AMRAHI BUANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah memaparkan harga ubat secara terbuka adalah langkah awal memperkasa dan ketelusan hak pengguna untuk mengetahui kos sebenar rawatan. 

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Prof. Amrahi Buang berkata, pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik atau hospital swasta dapat membuat pilihan lebih tepat dan berinformasi, menerusi ketelusan harga berkenaan.  

“Apabila pengguna diberi kuasa untuk mengetahui harga ubat, mereka boleh membuat keputusan terbaik untuk diri sendiri. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pengguna juga ada hak untuk memilih dan langkah itu penting bagi menyelesaikan isu daripada sudut kepentingan pengguna dan bukannya usaha kerajaan untuk mengawal harga ubat,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Beliau mengulas mengenai keputusan kerajaan yang akan melaksanakan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat bermula 1 Mei ini. 

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, perintah itu akan mewajibkan perkhidmatan kesihatan swasta mempamerkan harga ubat.  

Dalam pada itu, Amrahi berkata, pengguna perlu diberikan hak untuk mendapatkan ubat sama di klinik atau farmasi dengan pemberian surat ubat oleh doktor.  

Jelasnya, amalan di klinik kesihatan kerajaan dengan doktor memberikan surat ubat sebelum pesakit mengambil ubat di farmasi, perlu diperluaskan ke sektor swasta.

Langkah itu, katanya, sejajar dengan usaha memperkasa hak pengguna dalam sistem kesihatan negara. 

“Di klinik kesihatan kerajaan, pesakit diberikan surat ubat dan kemudian mereka pergi ke farmasi untuk mengambil ubat. Konsep ini boleh diterapkan di klinik swasta. 

“Pesakit berhak memilih sama ada ingin membeli ubat terus di klinik atau mendapatkan ubat daripada farmasi pilihan mereka. Ini memberi kuasa kepada pengguna untuk membuat pilihan terbaik mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN