Terdapat beberapa cara bagaimana kita menggalakkan perkembangan kesusasteraan dan persuratan tempatan antaranya menggalakkan penulisan buku.
Namun penerbitan buku hanya satu daripada sekian banyak karya dan tidak boleh dijadikan kayu pengukur sebenar bahawa dengan banyaknya penghasilan buku, kita boleh berbangga perkembangan sastera tanah air.
Penghasilan puisi, novel, cerpen, kritikan sewajarnya diperbanyakkan kerana karya kreatif ini dianggap manifestasi penyuburan kesusateraan yang melibatkan penggiat dan penulis atau penyair sebagai khazanah bernilai.
Penulis sudah tentunya melahirkan karya hasil daripada idea dan ilham yang bukan senang. Penghasilan karya kreatif adalah hasil daripada desakan dalaman yang diluahkan dalama bentuk kata kata indah menggunakan perlambangan dan metafora.
Kadang-kadang persekitaran juga satu desakan melahirkan karya karya sebab itu cerpen, novel, puisi dan teater muncul hasil daripada sifat perasa yang tinggi atau sensitif terhadap persekitaran.
Karya itu mungkin manifestasi terhadap ketidakpuasan hati dengan kejadian, nasib atau senario sesuatu dan diluahkan dalam bentuk kata.
Karya sastera boleh juga menjadi jurubicara masyarakat ,membela mereka yang tertindas atau menjadi mangsa.
Itu hanya inspirasi penghasilan karya karya sastera yang menjadi cabaran penulis tetapi cabaran paling utama adakah karya tersebut mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, sekali gus memberi pendapatan bagi menyara hidup.
Tapi itu sahaja caranya yang mudah bagi memberi imbuhan kepada penulis.
Selain itu mereka perlu melakukan lebih daripada itu tetapi bidang sastera kita berisiko kekurangan karya berkualti sekiranya penulis mapan ini meninggalkan bidang kepakaran mereka demi mencari sesuap nasi dengan cara lain.
Mengharapkan imbuhan kemenangan bukan suatu yang konsisten. Ini kerana sayembara dalam sastera bukannya kerap atau ada sepanjang masa. Menyertai sayembara bukan bermakna dijamin kemenangan.
Kemenangan itu pun tidak menjanjikan hadiah yang tinggi nilainya kerana bergantung kepada kategori yang disertai. Mungkin kah keadaan ini menyebabkan sastera kita akan lesu iaitu terlalu bergantung kepada anugerah dan sayembara.
Anugerah Sastera merujuk kepada penghargaan yang diberikan kepada penulis, penyair, atau penggiat seni sastera atas pencapaian mereka. Di Malaysia dan negara-negara lain, terdapat beberapa anugerah yang khusus untuk mengiktiraf karya sastera yang bermutu tinggi.
Bagi Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara Dr. Hasan Hamzah, atmosfera pembangunan buku negara positif bagi melahirkan lebih ramai penulis.
Penulisan buku terutama akademik mungkin tidak berkaitan langsung dengan perkembangan sastera tetapi sesuatu yang perlu dilakukan bagi menambah bilangan judul buku yang dihasilkan setahun.
Kata beliau, Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (UNESCO) menyasarkan bagi setiap penduduk sebuah negara, 1,000 judul buku perlu dihasilkan setahun, bermakna Malaysia yang mempunyai 34 juta penduduk ketika ini perlu menghasilkan 340 judul buku tetapi angkanya dikatakan masih rendah daripada itu.
Dalam usaha itu beliau pernah mewujudkan Anugerah Buku Negara sebelum ini sebagai usaha menggalakkan penghasilan buku tempatan walaupun ada pihak mempertikaikan langkah tersebut.
Beliau berharap guru guru diberi galakan menulis bagi menghasilkan lebih banyak judul buku mengikut kepakaran masing masing.
Beliau mengakui Malaysia tidak memandang serius membantu karyawan menghasilkan buku tetapi usaha perlu terus dilakukan ke arah itu.
Mengulas usaha yang sama seorang penulis daripada Sabah, Datuk Jasni Matlani berpandangan sayembara dan anugerah adalah dua hal yang berbeza dan berasingan dalam konteks perkembangan sastera, tetapi saling berkaitan antara satu sama lain.

Kata beliau sayembara diadakan untuk mencungkil bakat dan melahirkan karya sastera yang bermutu pada peringkat negeri, kebangsaan dan serantau.
Sayembara juga disertai oleh ramai penulis baharu dan mapan untuk menguji bakat mereka yang sedia ada, seterusnya menguji kekuatan karya mereka.
“Pengalaman saya dahulu menyertai sayembara menulis cerpen dan puisi pada peringkat kebangsaan adalah untuk menguji sejauh mana karya saya boleh bersaing pada peringkat kebangsaan.
“Suatu ketika tahap saya pada peringkat negeri sudah mencapai tahap yang tinggi dan membanggakan.
“Oleh itu saya mesti bergerak lebih jauh lagi, apakah karya yang saya hasilkan boleh bersaing pada peringkat kebangsaan dan mampu duduk sebaris dengan karya sastera yang lebih tinggi oleh penulis tersohor negara ini.
“ Persaingan yang sihat sebegini sangat diperlukan sebagai penanda aras dan motivasi. Tambahan pula banyak karya yang bermutu di negara ini lahir daripada sayembara. Contoh yang paling klasik ialah novel Salina oleh Datuk Dr. A Samad Said dan beberapa karya penulis lain, “ ujar beliau
Anugerah pula kata Jasni lebih menumpu kepada penulis yang mempunyai pencapaian yang tinggi dalam bidang penulisan pada peringkat pertubuhan penulis misalnya anugerah bakti penulis yang diberikan oleh
Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) atau anugerah bersempena dengan hari puisi nasional pada peringkat negeri dan kebangsaan anjuran GAPENA dan badan lain.
Jasni berkata, selain itu ada anugerah peringkat negeri misalnya Anugerah Sasterawan Negeri yang mengiktiraf pencapaian tertinggi seorang penulis pada peringkat negeri.
Sekarang ada anugerah sasterawan Negeri Sabah, Sarawak, Kelantan, Johor dan beberapa negeri yang kain.
Beliau bersetuju supaya setiap negeri mempunyai anugerah sasterawan negeri masing-masing dan kriteria serta jumlah hadiah wang tunainya selaras di semua negeri. Setakat ini Negeri Sabah yang memberikan jumlah yang tinggi RM 30,000 kepada penerima anugerah sasterawan negeri tersebut. Selepas itu baru ada anugerah Sasterawan Negara pada peringkat kebangsaan, yang salah satu asas pemilihannya calon Sasterawan negara mesti mendapat anugerah pada peringkat negeri dan juga SEA Write Award pada peringkat serantau di Thailand sebelum dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.
Pandangan Ketua 1 Ikatan Penulis Sabah (IPS) Awang Abdul Muizz Awang Marusin ada kebenarannya. Beliau berpendapat majlis penganugerahan sastera memang perlu diadakan tetapi apakah perlu dianjurkan setiap tahun atau tahun tertentu sahaja .
“Kalau diadakan setiap tahun ada kemungkinan kualiti anugerah sastera berkenaan menurun atau akan mengundang kata-kata negatif daripada pihak tertentu, maka lebih baik dianjurkan oleh pihak berwewenang daripada
Pusat seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau kerajaan negeri.
Kata beliau, persatuan sastera di Sabah tidak menganjurkan anugerah sesuka hati bagi menghormati wewenang pihak tertentu atau biarlah dianjurkan oleh kerajaan sahaja.
“Kita tidak mahu anugerah sastera diwujudkan hanya untuk kesenrokan persatuan sastera itu sahaja, ujarnya sambil memberitahu IPS hanya menganjurkan Hadiah Puisi K. Bali dan Pingat Penulis Sabah sahaja.
Awang Abdul Muiz berkata, Hadiah Puisi K. Bali itu pertandingan menulis manuskrip kumpulan puisi manakala Pingat Penulis Sabah itu pengiktirafan kepada penulis dan pendukung penulis yang berkhidmat dan menyumbang secara signifikan kepada komuniti, karya dan kegiatan penulis Sabah.
Bagi penulis Datuk Dr. Lim Swee Tin, anugerah penting sebagai penghargaan, pengiktirafan iaitu sumbangan boleh dihargai. Ia membawa kebaikan seperti membalas sumbangan yang telah diberi. “ Ini juga akan dapat menggalakkan penglibatan sasterawan atau pun pengarang,” ujarnya. Hadiah sastera bagi sesetengah pengarang menjadi pembakar semangat, pengukur pencapaian dan pengiktirafan kepada perahan idea.

Maka kedua-dua hadiah sastera dan anugerah katanya penting jika dilihat dari sudut positif.
Beberapa contoh Anugerah Sastera terkenal
Anugerah Sastera Negara
Anugerah paling berprestij dalam dunia sastera Malaysia.
Diberikan oleh kerajaan Malaysia melalui DBP.
-Mengiktiraf sumbangan besar seseorang sasterawan kepada pembangunan dan kemajuan kesusasteraan tanah air.
-Penerimanya digelar Sasterawan Negara dan menerima wang tunai, hadiah iringan serta penerbitan karya lengkap mereka dalam bentuk koleksi.
* Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) yang juga dikendalikan oleh DBP.
Mengiktiraf karya sastera terbaik yang diterbitkan setiap tahun, termasuk puisi, cerpen, esei sastera, drama dan novel.
*Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) (telah dihentikan beberapa tahun lalu)
Dahulu dikendalikan oleh Utusan Malaysia dan rakan kerjasama seperti ExxonMobil.
Mengiktiraf karya sastera remaja dan dewasa dalam kategori cerpen, puisi dan novel.
*Anugerah Penulisan ITBM-PENA-BH. – UTUSAN










