PETALING JAYA: Misi Hakim Danish Ramli memburu impian ke Moto3 bermula hujung minggu ini apabila memulakan kempen Piala Red Bull MotoGP Rookies 2025 di Litar Jerez, Sepanyol.
Pelumba berusia 17 tahun itu mensasarkan kelompok tiga terbaik, musim ini yang sekali gus menawarkan slot automatik ke Kejuaraan Motosikal Dunia pada tahun hadapan.
“Saya harap rakyat Malaysia dapat mendoakan saya, pusingan pertama ini amat penting untuk menentukan hala tuju saya musim ini,” katanya yang turut mengakui Litar Jerez merupakan antara trek kegemarannya.
Anak jati Kuala Terengganu itu memiliki rekod agak baik di Jerez selepas melengkapkan aksinya selaku naib juara dalam perlumbaan 2, musim lalu.
Walaupun membuka aksi lalu di kedudukan kesembilan dalam perlumbaan 1, Hakim Danish berjaya memperbaiki catatan masa dalam perlumbaan 2 yang turut menyaksikan dia berjaya mengumpul 27 mata keseluruhan.
Sepanjang musim lalu juga yang merupakan penampilan keduanya dalam perlumbaan tersebut turut menyaksikan dia berjaya mengekalkan prestasi konsisten dengan melakar satu kejuaraan di Aragon serta empat podium keseluruhan.
Pelumba muda berbakat besar Malaysia itu menamatkan saingan musim 2024 di kedudukan keenam keseluruhan selepas mengumpul 139 mata.
Bagi musim 2025, Hakim Danish sedang meniti usia yang bakal melayakkannya ke kancah perlumbaan Moto3 tahun depan dan SIC Racing telah menetapkan sasaran buat pelumba itu yang wajib menamatkan aksinya di kedudukan tiga terbaik.
Walaupun berdepan kekangan bajet, pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin masih mampu membentuk pelan latihan menyeluruh bagi mempersiapkan Hakim Danish ke tahap maksimum.
“Apa yang sedang dilalui Hakim Danish pada ketika ini tidaklah sesukar semasa saya masih bergelar pelumba, saya bersendirian tanpa sesiapa pun di Eropah, tetapi, Hakim Danish telah disediakan segala-galanya termasuk kediaman di Barcelona,” kata Zulfahmi. – UTUSAN










