Semalam, seramai 394,880 calon Sijil Pelajaran Malaysia SPM (2024) telah mendapatkan keputusan peperiksaan sekali gus menamatkan penantian penuh debaran.
Pasti ramai yang berperang dengan diri sendiri untuk membuat keputusan hendak melanjutkan pelajaran di mana dan dalam bidang apa selepas ini.
Sebagai ibu bapa, inilah masanya untuk membimbing anak-anak membuat pilihan yang terbaik.
Berbincang dan kenal pasti minat anak supaya mereka tidak mensia-siakan peluang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Tidak salah ibu bapa menentukan yang terbaik untuk hidup anak tetapi yang akan menjalani kehidupan itu adalah anak-anak, maka dengarlah juga pendapat mereka.
Teringat kisah saya 13 tahun lalu ketika baru sahaja menamatkan SPM. Ketika itu, saya sudah tanam minat untuk sambung pengajian dalam bidang media, jadi saya buat carian mengenai kursus itu.
Pilihan yang saya ada ketika itu adalah sama ada ambil diploma dalam bidang komunikasi di universiti atau sambung pengajian di tingkatan enam sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda.
Selepas ditilik kos dan segala sudut, saya putuskan untuk masuk ke tingkatan enam sahaja dulu untuk menjimatkan kos.
Syukurlah, ibu bapa saya tidak pernah memaksa soal pelajaran, kata mereka ikut sahaja minat saya dan sentiasa menyokong.
Namun, kata ibu, ada kenalan yang bercakap-cakap tentang keputusan saya itu. Katanya, kenapa hendak sarung semula uniform sekolah dan hadiri perhimpunan pagi sedangkan di universiti atau kolej, peraturannya lebih longgar.
Setiap kali diajukan pertanyaan itu, ibu sentiasa menjawab bahawa saya tahu apa yang dilakukan.
Saya adalah kumpulan pertama pelajar tingkatan enam yang menjalani sistem pra-universiti (pra-u) di mana kami belajar mengikut sistem semester seperti di universiti
Semester satu, saya lulus dengan cemerlang dan ditawarkan biasiswa hingga tamat pengajian. Selepas itu, saya sambung pendidikan di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang komunikasi yang saya idamkan.
Di universiti, saya mendapat anugerah dekan selama lima semester dan kemudian dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda kelas pertama dalam bidang Komunikasi Massa (Kewartawanan).
Disebabkan itu, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) saya ditukar menjadi biasiswa. Syukur, impian kerja sebagai wartawan pun sudah tercapai.
Kini, banyak pilihan sambung belajar, bukan sahaja di universiti, malah dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mendapat sokongan kerajaan dan peluang pekerjaan yang semakin meluas.
-Intan Suhana Che Omar ialah wartawan Utusan Malaysia










