Cécile Ndjebet, pejuang hak pemilikan tanah wanita

Cécile Ndjebet, pejuang hak pemilikan tanah wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI Cameroon, wanita hanya mampu bercucuk tanam di atas tanah milik suami atau saudara lelaki, berikutan adat dan budaya tempatan yang menafikan hak pemilikan tanah kepada golongan itu.

Sejak kecil, Cécile Bibiane Ndjebet menyaksikan ibunya bangun awal pagi untuk mengusahakan kebun demi memastikan keluarga mereka tidak kelaparan.

Beliau yang dibesarkan dalam keadaan serba daif di sebuah kampung terpencil di Cameroon, sudah mengerti nasib ibunya dan ramai lagi wanita lain yang terperangkap dalam ketidakadilan sejak berkurun lama.

ADS:M
Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi masyarakat di sana, lelaki dianggap sebagai pewaris mutlak, manakala wanita pula hanyalah sekadar penumpang.

Suara wanita bukan sahaja tidak didengari, malah hak untuk memiliki tanah yang mereka sendiri usahakan turut dinafikan.

“Saya sedar ibu saya dan ramai lagi wanita lain bergelut untuk meneruskan hidup. Mereka terlalu lama menderita.

“Ibu saya selama ini bekerja keras, tetapi tidak boleh memiliki tanah yang diusahakan hanya kerana bergelar wanita.

“Jadi, saya ingin ubah nasib wanita dan memperjuangkan hak mereka, terutama yang tinggal di luar bandar,” katanya.

 

UBAH NASIB DENGAN PENDIDIKAN
Ndjebet sedar pendidikan merupakan satu-satunya jalan untuk mengubah masa depan diri dan keluarga.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang agronomi di Cameroon sebelum memperoleh Ijazah Sarjana dalam Perhutanan Sosial dari Wageningen Agricultural University di Belanda.

Di Wageningen, Ndjebet mendalami hubungan erat antara kelestarian alam sekitar dan keadilan sosial, khususnya dalam konteks negara membangun.

Pada waktu ini, beliau menyedari yang isu pemilikan tanah bukan sekadar soal ekonomi atau budaya semata-mata, tetapi turut melibatkan hak asasi manusia dan kelangsungan hidup komuniti luar bandar.

“Wanita yang mempunyai akses kepada pemilikan tanah bukan sahaja akan mengusahakannya untuk diri sendiri, malah turut melabur dalam pendidikan anak-anak dan kesejahteraan keluarga.

“Ramai tidak sedar wanita adalah tunjang kepada komuniti luar bandar. Berikan mereka hak yang sewajarnya, mereka mampu mengubah masa depan negara,” katanya.

TINGGALKAN KERJAYA
Selepas sedekad berkhidmat di Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Cameroon, Ndjebet mengambil keputusan besar untuk meninggalkan kerjaya di sektor kerajaan.

Beliau kemudian menyertai Pan-African Institute for Central African Development sebagai penasihat pembangunan, penyelidik dan jurulatih, demi meneruskan perjuangan untuk memperkasakan wanita dan komuniti luar bandar melalui pendekatan pembangunan yang inklusif serta lestari.

Peluang tersebut secara tidak membawanya terlibat dalam projek berkaitan perhutanan komuniti dan jantina menerusi kerjasama bersama Yayasan Jerman untuk Pembangunan Antarabangsa.

“Penting untuk kita mendidik rakyat Afrika mengenai konsep gender agar mereka memahami kepentingan kesamarataan demi pembangunan.

“Ramai yang masih keliru dan menganggap isu gender hanya berkaitan wanita semata-mata, sedangkan ia sebenarnya melibatkan tanggungjawab bersama antara lelaki dan wanita dalam membina sesebuah masyarakat.

“Jika diberi peluang sama rata, barulah kita dapat melihat perubahan yang menyeluruh. Peranan wanita tidak lagi dipandang sebelah mata, manakala lelaki pula menjadi sekutu dalam usaha memperkasakan komuniti secara kolektif,” katanya.

BAWA SUARA WANITA
Pada 2001, Ndjebet menubuhkan Cameroon Ecology (Cam-Eco), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memberi tumpuan kepada pemuliharaan hutan dan pemulihan tanah terbiar melalui penglibatan aktif komuniti, khususnya wanita.

Di bawah kepemimpinannya, lebih 600 hektar tanah terdegradasi termasuk kawasan hutan bakau berjaya dipulihkan.

Pencapaian tersebut membuktikan yang wanita bukan sahaja mampu memimpin, malah berupaya menjadi pencetus perubahan kepada sesebuah negara.

Pada masa sama, Ndjebet turut giat memperjuangkan hak pemilikan tanah untuk kaum wanita.

Beliau lantang mendesak reformasi undang-undang tanah sambil menjalankan latihan dan kempen kesedaran kepada wanita luar bandar agar mereka berani menuntut hak terhadap tanah yang diusahakan.

Usaha tersebut telah membuka ruang kepada ribuan wanita untuk memiliki tanah secara sah, sekali gus memperkukuh kedudukan mereka dalam masyarakat dan ekonomi setempat.

“Wanita yang mempunyai akses kepada tanah adalah individu yang memiliki kuasa. Dia boleh membuat keputusan, memperbaiki taraf hidupnya serta menyokong keluarga dan komuniti.

“Tanpa tanah, suara wanita akan dilenyapkan dan hak mereka terus dipinggirkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN