SELAMAT hari raya semua! Bagaimana raya anda setakat ini? Saya harap ia indah dan penuh makna.
Minggu ini saya ingin ambil kesempatan untuk mencadangkan lagu-lagu raya yang mungkin jarang dimainkan dalam radio tapi percayalah, ia punya kualiti dan mampu menjentik memori kita terhadap kenangan berhari raya.
Disebabkan banyak sebenarnya lagu raya alternatif yang ingin saya muatkan dalam artikel ini, saya tidak akan memasukkan lagu raya yang dirilis baru-baru ini. Lagu-lagu yang baharu akan dimasukkan dalam Senarai Main Rondivu Mei #2.
Mensyukuri Syawal
Meet Uncle Hussein ft. L. Danielle
Bagi saya, ini antara lagu raya terbaik yang dihasilkan dalam tempoh 20 tahun ini. Susunan moden, muzik progresif, lirik yang lengkap dan vokal maskulin L. Danielle menjadikan lagu ini sempurna.
Menjelang Syawal
Pesawat
Pesawat tahu bagaimana mahu menghasilkan ‘bunyi perayaan’. Anda boleh membayangkan lagu ini dinyanyikan beramai-ramai di pagi hari raya. Video muziknya juga menarik dan kelakar. Ada Adibah Noor dan Abang Rom!
Lagu Raya
Sekumpulan Orang Gila& Ana Raffali
Setakat yang saya dengar, ini satu-satunya lagu raya yang ada nyanyian jeritan. Kolaborasi SOG dengan Ana Raffali ialah kombo sempurna. Lirik lagu ini juga dengan bijak disusun untuk mengimbau memori Aidilfitri.
Manisnya Dunia
Joe PureVibracion
Irama reggae berasal dari Jamaica tapi ia sangat mudah masuk dengan lenggok Melayu. Itu yang ditonjolkan Joe dalam lagu ini. Mesej dalam lagu ini ialah hasil apabila Aidilfitri disuntik elemen globalisme reggae.
Hari Raya Ini Dalam Sejarah
Monoloque
Antara karya Aidilfitri terbaik oleh kugiran moden Malaysia. Pengaruh muzik tradisional dilakur dengan baik dan liriknya pula diselit pesan santai. Cop mohor Monoloque terserlah dalam lagu ini.
Next Aidilfitri
Bittersweet
Lagu ini sangat legenda dalam komuniti independen tempatan. Tanpa melodi tradisional Melayu ia berjaya mendatangkan memori raya. Ini magis Bittersweet.
Natural
OAG
Lagu raya paling gila. Pengaruhnya grunge, Radhi me-ye-ye-yeh bagai Cobain dalam Lithium. Namun, liriknya sangat bermakna. Sebuah khutbah tentang kembali kepada fitrah manusia dan mendamaikan baik-buruk, hitam-putih, yin-yang dalam kehidupan. Genius!
Hari Raya di Kuala Lumpur
Butterfingers
Bolehlah jadi lagu raya anda tahun ini. Lagu ini tidak berat, hanya untuk kita enjoy-enjoy dengar dalam kereta. Ataupun, anda boleh dengar setiap kali terasa nak menangis sebab tak dapat balik kampung tahun ini.
Kota Raya
Hani & Zue ft. Diandra Arjunaidi
Satu lagi lagu tentang tak balik kampung pada hari raya. Lagu ini bijak sebenarnya kerana ia membantu kita sedar bahawa hari raya boleh jadi meriah dan bermakna walau di mana ia diraikan.
Lumrah Raya
The Venopian Solitude
Lagu ini sangat nostalgik bagi saya. Bukan sahaja kerana liriknya dengan bijak menyentuh hal-hal kecil tentang Aidilfitri untuk generasi saya, tetapi ia menjadi runut bunyi untuk telefilem raya kegemaran saya, NostalGila.
Raya Selamba
The Venopian Solitude
Lagu kedua daripada TVS. Lagu kali ini dicipta untuk iklan hari raya KFC beberapa tahun lalu. Lagu ini mengajak kita untuk tenang-tenang di hari raya, jangan gelabah tak tentu pasal.
Hari-Hari Hari Raya
Ana Raffali
Lagu yang ringkas daripada Ana Raffali. Liriknya tentang pasangan bercinta tapi boleh saja ditafsir dengan lebih luas. Lagu ini bukan sahaja mengembalikan memori anda tentang hari raya, malah zaman kegemilangan penyanyi-pencipta wanita suatu ketika dahulu.
Syawal Kembali
Bagak (Statik)
Saya fikir lagu ini tidak pernah diriliskan secara proper. Ia hanya boleh dijumpai bersepah-sepah di Youtube. Saya fikir kalau Statik dapatkan rakamkan semula lagu ini, pasti menarik.










