Harga emas catat rekod tertinggi kepada AS$3,500 seauns 

Harga emas catat rekod tertinggi kepada AS$3,500 seauns 

HARGA emas telah meningkat hampir 20 peratus dalam tempoh setahun, termasuk kenaikan 10 peratus pada April ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga emas melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah apabila mencecah AS$3,500 seauns (RM15,340.19) pada dagangan Selasa, didorong oleh kebimbangan pasaran terhadap kritikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell.

Sentimen risiko yang semakin lemah susulan kenyataan Trump itu mendorong pelabur beralih kepada logam berharga sebagai aset selamat.

Emas spot meningkat sebanyak 2.2 peratus kepada AS$3,493.41 satu auns (RM15,322.57), setakat jam 06.20 Greenwich Mean Time (GMT), selepas mencapai paras tertinggi rekod iaitu AS$3,500.05 seauns (RM15,351.70) awal sesi tersebut.

Niaga hadapan emas AS GCcv1 pula meningkat 2.3 peratus kepada AS$3,502.4 seauns (RM15,364.44).

Logam berharga itu buat kali pertama menembusi paras AS$3,435 seauns (RM15,070.87) susulan lonjakan 2.9 peratus pada Isnin berikutan kejatuhan nilai dolar AS ke tahap terendah sejak akhir 2023.

Penganalisis Ekonomi dari UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, harga emas telah meningkat hampir 20 peratus dalam tempoh setahun, termasuk kenaikan 10 peratus pada April ini.

“Pasaran saham global merudum apabila Trump mengumumkan tarif ke atas semua rakan dagangnya, terutamanya China sebagai pembekal utama. 

“Polisi tersebut kemudiannya ditangguhkan selama 90 hari, namun ketidaktentuan dan kekaburan hala tuju dasar Trump telah menimbulkan kegelisahan pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas beliau, pelabur institusi kini beralih kepada aset selamat seperti emas bagi melindungi nilai pelaburan mereka, sekali gus menyumbang kepada lonjakan harga semasa.

Sementara itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, harga emas dijangka terus meningkat selagi konflik perdagangan AS belum menemui penyelesaian.

“Ketidakpastian dasar fiskal dan monetari AS, termasuk ketegangan antara Presiden AS dan Pengerusi Rizab Persekutuan terus memberi tekanan kepada dolar AS.

“Kemerosotan dolar serta aktiviti penjualan bon Perbendaharaan AS turut menunjukkan peralihan pelaburan asing ke arah aset lindung nilai seperti emas,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Datuk Seri Meer Habib berkata, ketidaktentuan ekonomi semasa menyukarkan ramalan terhadap pergerakan harga emas seterusnya.

“Kepercayaan terhadap dolar AS sebagai mata wang rizab dunia semakin pudar, menyebabkan banyak bank pusat membeli emas sebagai rizab. China antara negara yang aktif menambah simpanan emas sejak Februari lalu.

“Emas kini menghampiri AS$3,500 (RM15,340.19) namun kemungkinan pembetulan harga tetap ada dalam masa terdekat,” katanya.

Tambah beliau, permintaan tinggi terhadap emas ketika ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap aset tersebut dalam jangka masa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×