Di sebalik hutan tebal bahagian Serian, Sarawak, tersimpan sebuah rahsia alam yang menakjubkan, yang kini mula diterokai ramai orang.
Gua Silabur terletak tidak jauh dari Kampung Lobang Batu, dengan hanya mengambil masa selama dua jam 30 minit dari Kuching ke lokasi yang dituju.
Saya bersama lima orang teman bertolak seawal pukul empat pagi, bagi memudahkan pengembaraan awal ke Gua Silabur.
Setelah tiba, kami disambut oleh dua orang warga kampung tersebut yang mengetuai perjalanan kami merentasi hutan tebal terlebih dahulu.
Sebelum memulakan perjalanan, kami diberi taklimat berkenaan laluan yang akan ditempuhi dan pantang larang di sekitar gua tersebut.
Selain itu, kami dinasihati supaya menjaga percakapan dan tingkah laku, bagi mengelak sesuatu buruk berlaku.
Kami turut melakukan sedikit regangan badan dan memastikan peralatan seperti lampu suluh berfungsi dan bekalan air sudah lengkap.
Perjalanan menuju ke gua berkenaan agak mencabar menyebabkan kami terpaksa melalui laluan yang curam dan licin. Tambahan pula, pada waktu itu keadaan hutan masih lagi berembun dan kabus tebal di awal pagi.
Apabila tiba di mulut Gua Silabur, rasa penat yang membebani bahu dan kaki seolah-olah hilang dan tidak dirasai lagi.
Keletihan diganti dengan rasa kagum dan teruja yang sukar digambarkan apabila melihat keindahan gua yang tersergam indah di depan mata.
Malah, pemandangan hijau dan gunung-ganang yang dilihat dari mulut gua tersebut, sungguh mempesonakan.
Ibarat dihiasi permata jed
Keindahan gua tersebut benar-benar memukau, sukar digambarkan dengan kata-kata.
Saat cahaya matahari menembusi celahan gua dan menyinari dinding-dinding batunya, warna kehijauan yang terpancar kelihatan seolah-olah batu jed yang berkilau.
Menurut warga kampung yang mengetuai perjalanan kami, kesempatan melihat fenomena tersebut hanya boleh dilihat di waktu pagi hingga tengah hari sahaja.
Ini kerana, pada sebelah petang, keadaan dalam gua akan kelihatan suram, disebabkan arah matahari yang berubah.
Setiap sudut bagaikan lukisan semula jadi yang hidup dan memberi ketenangan bagi saya.
Mitos Silabur
Di sebalik keindahan gua tersebut, ia mempunyai kisah misteri yang dipercayai kebanyakan warga tua di sekitar Bandar Serian.
Gua Silabur dahulunya, merupakan perkampungan orang Bidayuh, namun disumpah menjadi batu kapur.
Ia bermula apabila pekasam ikan milik cucu seorang datuk tua telah disabotaj dengan dicampur getah oleh penduduk kampung tersebut.
Oleh kerana marah dan kecewa dengan perbuatan mereka, datuk tersebut menyumpah kampung berkenaan.
Jika anda menerokai Gua Silabur, akan berkesempatan melihat beberapa sudut dinding batu kapur yang seakan-akan bentuk gong, manusia dan beberapa peralatan masyarakat Bidayuh pada masa dahulu.-UTUSAN










