PETALING JAYA: “Ini kemenangan yang sangat emosi kerana saya baru kehilangan datuk yang sangat rapat dengan saya.”
Tangisan kegembiraan mengiringi kejayaan Sin Li Jane apabila menjuarai final stepladder wanita Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia 2025 di Sunway Mega Lanes.
Pemain berusia 32 tahun itu tampil cemerlang dengan jatuhan 222 pin menewaskan pilihan dari Singapura, New Hui Fen yang mengumpul 198, manakala rakan senegara dari skuad pelapis, Adelia Nur Irwan Syazalee menduduki tempat ketiga.
Kejayaan ini menandakan kejuaraan kedua buat Li Jane dalam sejarah penyertaannya di kejohanan berprestij itu, selepas muncul juara pada 2016.
Namun, kemenangan kali ini cukup bermakna buat anak kelahiran Ipoh itu kerana ia didedikasikan khas kepada mendiang datuknya yang meninggal dunia pada Isnin lalu.
“Sebelum saya pulang ke Kuala Lumpur dari Ipoh, saya sempat berjanji kepada arwah untuk melakukan yang terbaik dan memenangi Terbuka Malaysia.
“Beliau sentiasa menyokong saya sejak kecil, dan sentiasa menjadi sumber kekuatan saya,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.
Mengulas tentang perlawanan akhir, Li Jane mengakui Hui Fen merupakan pencabar yang sukar ditewaskan, apatah lagi mereka sering bertemu dalam kejohanan antarabangsa sebelum ini.
“Saya sudah biasa menentang Hui Fen. Dia seorang pemain yang sangat konsisten. Jadi, fokus saya lebih kepada memastikan balingan saya konsisten, bukan terlalu memikirkan keputusan,” jelasnya.
Selepas ini, Li Jane akan beraksi di Kejohanan Sonic International Classic di Singapura dari 23 hingga 26 April sebelum terbang ke Amerika Syarikat untuk mempertahankan gelaran dalam Jelajah PWBA. – UTUSAN










