Hannah F&B sasar RM1 juta jualan tahun pertama

Hannah F&B sasar RM1 juta jualan tahun pertama

SITI Hafsah Rosli menyasarkan mengeksport produknya ke Singapura pada pertengahan tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar makanan tempatan, Hannah Food & Beverages, menyasarkan jualan RM1 juta pertama tahun ini, selari dengan rancangan pengembangan pasaran ke luar negara dan peningkatan kapasiti pengeluaran.

Pengurusnya, Siti Hafsah Rosli berkata, sasaran tersebut mewakili peningkatan lebih 40 peratus berbanding pendapatan tahun lalu dan menjadi titik penting dalam perjalanan syarikat sejak ditubuhkan secara kecil-kecilan.

“Alhamdulillah, dengan sokongan pelanggan dan penerimaan produk utama kami iaitu Crispy Toast di pasar raya dan outlet seperti AEON, emart24, ST Rosyam Mart, Richiamo Mart, kedai PERNAMA dan Mari Mart, kami yakin berada di landasan yang betul.

“Kami juga sedang dalam proses untuk mengeksport produk ke Singapura pada pertengahan tahun ini, yang bakal menjadi permulaan kami ke pasaran antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain menumpukan kepada peluasan pasaran, syarikat kini dalam proses mendapatkan pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) bagi meningkatkan kualiti dan kredibiliti produk.

“Buat masa ini, kami beroperasi dari sebuah kilang di Ayer Keroh, Melaka. Fokus kami sekarang adalah menaik taraf kilang dengan sistem automasi penuh untuk memastikan kapasiti pengeluaran dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya.

Siti Hafsah berkata, antara strategi yang sedang dilaksanakan bagi mencapai sasaran pendapatan tahun ini termasuk meneroka lebih banyak rangkaian pasar raya dan kedai serbaneka, serta kerjasama dengan sebuah jenama kedai kopi tempatan.

Menurut beliau, antara cabaran utama dalam perniagaan adalah status syarikat sebagai milikan tunggal yang mengehadkan akses kepada geran, pinjaman dan pelaburan.

“Sebagai usahawan wanita dalam industri makanan, saya juga perlu berusaha lebih dalam meyakinkan pembekal dan pihak luar, terutama dalam aspek teknikal seperti pematuhan piawaian.

“Tapi saya anggap semua itu sebagai proses pembelajaran. Saya terus cari ilmu, sertai program bimbingan dan kini merancang untuk struktur semula syarikat agar dapat berkembang dengan lebih teratur,” ujarnya.

Dalam jangka masa panjang, beliau optimis Hannah Food & Beverages akan terus berkembang dan tidak menolak kemungkinan untuk berpindah ke fasiliti pengeluaran yang lebih besar apabila tiba masanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×