BMW 2-Series memang popular tetapi dalam kalangan penggemar sejati jenama Jerman itu, ia digelar ‘kereta anak-anak’.
Bukan setakat saiz yang kompak, 2-Series menggunakan platform FWD (pacuan roda hadapan) dan tidak dilihat sebagai sebuah BMW sejati. Pemanduannya juga tidak sama seperti 1-Series lama yang dipacu oleh roda belakang dan jauh sekali dari prestasi 3-Series.
Namun begitu semua akur bahawa BMW perlu menghasilkan sesuatu yang lebih mampu milik dan lebih mesra diterima oleh golongan pembeli yang hanya mahukan jenama tersebut, bukan pengendaliannya.
Peminat BMW sekarang boleh mengurut dada tanda lega kerana generasi kedua 2-Series Gran Coupe F74 (2GC) ini jauh lebih lengkap dan mempunyai ciri-ciri pengendalian yang lebih sporty.
Penulis dibawa ke Barcelona, Sepanyol untuk memandu uji generasi terbaharu 2GC ini. Platform lama dikekalkan, bermakna jarak antara roda kekal sama [2,670 milimeter (mm)] tetapi model ini 20 mm lebih panjang dan 25 mm lebih tinggi. Lebar badan kekal sama.
Bentuk hadapan tidak jauh beza dengan BMW 1-Series baharu (F70) yang tidak akan dibawa masuk ke Malaysia.
Perbezaan paling ketara antara 1-Series dan 2GC ini ialah kerana ia sebuah Gran Coupe, ekornya dipanjangkan. Lampu hadapan memang lebih agresif dan gril besar itu mempunyai efek lampu Iconic Glow, cuma ia adalah peralatan tambahan (optional).

Lampu belakang cukup agresif, ditambah dengan ekor yang sedikit melentik dan penghujung cermin tingkap belakang dengan lekuk Hofmeister yang dilengkapkan lagi dengan logo nombor ‘2’ untuk menandakan ini ialah 2 Series.
Secara keseluruhan, ramai akan membeli 2GC ini bukan kerana jenama, tetapi kerana bentuknya. Tidak seperti Mercedes-Benz yang perlu tambahan bodykit serta sistem gantungan yang direndahkan untuk nampak sporty, BMW 2GC tidak perlu itu semua kerana ia memang sudah nampak garang dalam keadaan asal.
Ruangan bonet barang sebenarnya sama seperti 2GC lama, mampu menawarkan ruangan kargo sebanyak 430 liter. Ini cukup untuk kebanyakan pemilik kerana 2GC sering menjadi kenderaan kedua dalam keluarga yang besar atau kenderaan utama untuk yang bujang atau belum mempunyai anak.
Masuk ke bahagian kabin pula, ciri-ciri ringkas tapi agresif BMW sudah jelas kelihatan. Kualiti bahan yang digunakan rasa lebih premium dan skrin utama yang melengkung (10.7-inci) itu menggunakan sistem BMW OS 9 yang sebenarnya menggunakan Android.
Tidak lagi ada tombol iDrive, semuanya menggunakan skrin sesentuh.
Untuk pemandu, skrin warna-warni sebesar 10.25 inci kelihatan bersambung dengan skrin utama dan papan pemuka nampak canggih dan mahal. Mungkin ada yang berkata kereta jenama China juga mempunyai skrin-skrin yang besar tetapi kebanyakan mereka itu tidak nampak ‘mahal’.
Ruang belakang memadai untuk mereka yang bersaiz sederhana. Ia tidak begitu lebar, memuatkan dua orang penumpang dewasa dengan selesa.
Bagi membolehkan bentuk bumbung yang rendah itu, ruang kepala bagi penumpang belakang terpaksa dikorbankan. Ruang kaki di belakang juga tidak begitu sesuai untuk mereka yang tinggi.
BMW Malaysia berkata model yang akan dibawa masuk ialah model 220. Tidak lagi ada huruf ‘i’ bagi model-model BMW dengan enjin biasa kerana mereka mahu ‘i’ itu khusus untuk jentera kenderaan elektrik (EV) mereka.
Penulis membawa 2GC 220 dengan enjin empat silinder yang menghasilkan 204PS dan 300Nm dan dipadankan dengan transmisi tujuh kelajuan dwi-klac. Enjin ini tidak akan hadir di Malaysia, sebaliknya varian 220 kita akan diberikan dengan enjin 1.5L dengan tiga silinder.
Dari segi tenaga, pemanduan 2GC 220 di sekitar bandaraya Barcelona terasa lancar dan mudah. Ia ada cukup daya tujahan untuk memecut di jalan-jalan bandar tersebut dan tidak ada masalah untuk dipandu pada kelajuan 120 hingga 130 kilometer sejam (kmsj) di lebuh raya di sana.
Sistem gantungan juga seperti sama dengan 2GC sebelum ini. Ia rasa selesa di laluan normal dan sedikit keras bila melanda kawasan tak rata seperti bonggol dan lubang kecil. Ini memang sifat semula jadi BMW dan pemilik-pemiliknya tidak mengeluh.
Keluar dari bandaraya besar itu dan masuk ke kawasan berbukit, enjin turbo dan transmisi dwi-klac itu mula menunjukan taring sebenarnya.
Paduan brek yang mantap serta pecutan yang tegar membolehkan penulis benar-benar menghayati selekoh-selekoh tajam di sana. Laluan di Eropah mungkin besar untuk lebuh raya, tetapi bila kita keluar dari kawasan bandar dan masuk ke kawasan pendalaman, jalan raya mula mengecil dan selekoh memang lebih tajam dari mulut pengkritik politik.
Walaupun masih menggunakan platform lama dan dipacu oleh roda hadapan, sistem kawalan cengkaman dan komputer utama memastikan 2GC baharu ini lebih neutral bila ‘dibaling’ ke dalam selekoh, tanpa ada sekelumit pun tana ia akan menyasar atau ‘understeer’.
Bila gear diturunkan, enjin segera mengaum dan melonjakkan 2GC ini kehadapan. Ini baharu varian 220, pastinya varian M235 dengan enjin 2.0L turbo akan menjadi jauh lebih agresif dan mampu membuatkan pemandu BMW 330i berpeluh di dahi.
Secara ringkas, pengalaman memandu 2GC 220 ini cukup untuk merasai perubahan teknologi sistem gantungan dan kawalan enjin serta transmisi baharu dari BMW. Ia lebih agresif untuk memenuhi kehendak pemandu laju, tetapi selesa bagi kegunaan harian di kawasan bandar.
Pakej cilik dua dalam satu yang baik, tetapi harga akan menjadi penentu utama kejayaan model ini.
Spesifikasi
BMW 2-Series Gran Coupe 220
Enjin: 1,998 cc
Tenaga maksimum: 204PS @ 5,000-6,500rpm
Daya kilas maksimum: 300Nm @ 1,450-4,500rpm
Transmisi: 7-kelajuan automatik Steptronic
Pecutan 0-100kmsj: 7.2 saat
Halaju maksimum: 250 kmsj
Harga: Belum dilancarkan di Malaysia-UTUSAN










