SAYA menyokong penuh ketegasan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Msrs), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki terhadap tujuh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang didapati terbabit buli fizikal termasuk bersubahat dengan perbuatan itu ditamatkan pengajian berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Asyraf Wajdi, keputusan itu dibuat berdasarkan syor daripada Jawatankuasa Disiplin MRSM dengan melibatkan tujuh pelajar, iaitu dua daripadanya terbabit buli fizikal sementara lima lagi bersubahat.
“Ekoran dari itu disyorkan semuanya ditamatkan pengajian daripada MRSM,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Pengerusi Mara itu berkata, beliau tidak setuju untuk diberikan peluang kedua kerana sejak dari awal diamanahkan sebagai Pengerusi Mara, berulang kali beliau ingatkan dan tegaskan tentang prinsip itu.
“Tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli dan apa jua bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan Mara (IPMA) termasuk MRSM.
“Tidak kira anak sesiapa sekalipun, Tan Sri, Datuk hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun, jika terlibat dalam buli, tindakan tegas dan keras akan diambil.
“Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu. Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini,” tegasnya.
Sebelum ini tular video yang mengaitkan perbuatan buli membabitkan pelajar MRSM tersebut.
Justeru, sekali lagi saya mengucapkan setinggi syabas kepada Asyraf Wajdi atas ketegasan tersebut membabitkan pelajar MRSM berkenaan.
Memang tidak sepatutnya kejadian buli seumpama itu berlaku di mana-mana tempat pengajian di negara ini sebagaimana tahun-tahun 60-an, 70-an dan 80-an dahulu.
Kita perlu takrifkan masa sekarang adalah masa lengkap bertamadun dalam negara, justeru tidak seharusnya masih berlaku perbuatan-perbuatan tidak bertamadun sedemikian.
Oleh kerana kes tersebut sudah menjadi kes polis dan seterusnya akan menjadi pula kes mahkamah, kita serah kepada pihak-pihak terbabit untuk tindakan seterusnya bagi memastikan keadilan ditegakkan. – UTUSAN
TEROPONG ANAK PERLIS
Perlis










