Kedai makan Kuzah sajikan gulai kawah warisan keluarga

Kedai makan Kuzah sajikan gulai kawah warisan keluarga

NIK Zakwan Nik Nasir di hadapan Kedai Makan Kuzah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terletak bersebelahan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) Kuala Lipis, sebuah kedai makan yang dikenali sebagai Kedai Makan Kuzah menjadi tumpuan pengunjung yang ingin menikmati sajian tradisional bercita rasa asli.

Menariknya, kedai yang terletak di Bazar MARA Jalan Stesen Keretapi, Bandar Lama Kuala Lipis ini bukan sahaja terkenal dalam kalangan penduduk setempat, malah turut dikunjungi pelancong dari luar daerah yang datang menaiki kereta api semata-mata untuk menjamu selera di sini.

Diusahakan oleh Nik Zakwan Nik Nasir, 38, Kedai Makan Kuzah menyajikan pelbagai menu menarik yang cukup menyelerakan seperti nasi kerabu, gulai kawah, gulai ikan tongkol, ayam bakar, daging bakar, kambing bakar, lemak bakar, bakso serta pelbagai jenis minuman popular termasuk teh ais float dan jagung float.

Menurut Nik Zakwan, keistimewaan utama kedainya adalah gulai kawah yang menggunakan resipi asli turun-temurun daripada neneknya yang berasal dari Kelantan.

“Resipi gulai kawah ini sudah menjadi warisan keluarga sejak sekian lama. Ia menggunakan rempah ratus khas dari Kelantan yang memberikan rasa unik dan sukar didapati di tempat lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, meskipun kedainya sudah mempunyai pelanggan tetap, dia tetap berusaha memperkenalkan menu baharu dari semasa ke semasa bagi memberi pilihan yang lebih menarik kepada pelanggan.

“Lemak bakar adalah menu terbaharu yang kami perkenalkan. Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan dan ramai yang memuji menu ini yang jarang ditemui di tempat lain.

“Keistimewaan lemak bakar terletak pada kelembutan dan rasanya yang kaya dengan aroma panggang, menjadikannya sesuai dimakan bersama nasi putih atau dicicah dengan sambal,” jelasnya.

Nik Zakwan turut berkongsi bahawa pelanggan yang datang bukan hanya dari Kuala Lipis, malah ada yang datang sejauh Bahau (Negeri Sembilan), Mentakab, Jerantut dan Gua Musang (Kelantan), memanfaatkan perjalanan kereta api untuk singgah makan di kedainya.

Kedai Makan Kuzah
Lokasi: Bazar MARA Jalan Stesen Keretapi, Bandar Lama Kuala Lipis di Lipis, Pahang.
Waktu operasi: Setiap hari, pukul 8 pagi hingga pukul 4 petang.
Makanan paling popular: Nasi kerabu daging, gulai kawah dan lemak bakar.

“Kedudukan kedai yang bersebelahan stesen KTM serta menghadap Laman Seni Kuala Lipis memudahkan pengunjung untuk singgah menikmati juadah kami.

“Kedai ini dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 4 petang, dan harga makanan yang ditawarkan juga berpatutan, bermula dari RM8 hingga RM18 bergantung kepada pilihan lauk, manakala minuman bermula dari RM2 hingga RM6,” katanya.

Mengimbas kembali latar belakang perniagaan ini, Nik Zakwan memberitahu, kedai tersebut asalnya diusahakan oleh ibunya, Tuan Azizah Tuan Man, sejak tahun 2001 sebelum dia mengambil alih sepenuhnya pada tahun 2015.

“Kini, ibu saya mengusahakan cawangan baharu di Bandar Baharu Lipis dengan mengekalkan menu istimewa gulai kawah serta menambah variasi lauk lain,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×