PERTEMUAN tidak dijangka dengan jurugambar dari Russia mengubah kehidupan Noppajit ‘Meen’ Somboonsate daripada seorang tukang sapu kepada model untuk jenama kosmetik terkenal di Thailand.
Wanita berusia 28 tahun itu tidak menyangka dirinya akan menjadi tumpuan lensa kamera, ketika sedang menjalankan tugas menyapu jalan di kawasan Chinatown, Bangkok.
Aura semula jadi Meen menarik perhatian Semyon Rezchikov, seorang jurugambar yang terkenal dengan gaya potret jalanan.
Pesona fotogenik Meen jelas terpancar, meskipun dengan wajah bersahaja dan hanya mengenakan pakaian kerja ringkas sambil memegang penyapu serta penyodok.
Rezchikov yang membawa pencetak mudah alih ketika itu segera mencetak gambar Meen dan menyerahkan kepadanya.
Walaupun pada mulanya wanita berkulit sawo matang itu agak curiga apabila didekati lelaki asing, wajahnya serta-merta tersenyum lebar sebaik sahaja melihat gambar tersebut.
Ibu kepada dua anak lelaki berusia 10 tahun dan 6 tahun itu, begitu menyukai gambar tersebut sehingga tidak dapat berhenti menatapnya.
Selepas Rezchikov berkongsi detik pertemuan mereka di media sosial, video itu segera menjadi tular, meraih jutaan tontonan sehingga Meen digelar sebagai ‘tukang sapu paling terkenal di Thailand’.
REZEKI TIDAK DISANGKA
Menurut laporan South China Morning Post, Meen pernah melakukan pelbagai kerja untuk menyara dua anaknya sebelum mendapat pekerjaan tetap sebagai tukang sapu kira-kira setahun lalu.
Pada awalnya, beliau merancang untuk terus bekerja dalam bidang itu sehingga bersara, namun populariti tidak disangka-sangka membuka pintu rezeki yang tidak pernah dibayangkannya, termasuk menjadi model.
Aura dan kisah luar biasa Meen turut menarik perhatian jurusolek tersohor Thailand, Nong Chat, yang kini memiliki lebih 1.7 juta pengikut di media sosial.
Baru-baru ini, Nong mempelawa Meen untuk menjadi model bagi jenamanya sendiri.
Buat pertama kali dalam hidupnya, Meen menjalani sesi penggambaran profesional, dengan sentuhan magis daripada jurusolek tersebut.
Meen berjaya menghidupkan semula gaya ikonik yang diinspirasikan daripada filem seram Thailand, Art of the Devil 2.
Foto promosi yang dimuat naik di laman media sosial Nong memaparkan Meen mengenakan solekan asas dan pembayang mata dengan kostum tradisional, menonjolkan transformasinya sebagai model.
Kemas kini media sosial tersebut juga memperlihatkan perbezaan ketara penampilan Meen sebelum dan selepas bergelar model.
Ramai netizen terpesona dan menganggap tuah Meen seolah-olah ‘menang loteri’, dengan beberapa pengguna media sosial dari China memuji aura semula jadinya seperti model terkenal.
Meen kini menerima pelbagai tawaran daripada jenama serta agensi pemasaran lain untuk bekerjasama.
Bahkan, beliau juga mengumumkan akan berhenti kerja sebagai tukang sapu bagi memberi fokus sepenuhnya kepada kerjaya baharu dalam dunia peragaan.
Kisah seperti Meen turut mengingatkan kepada beberapa cerita luar biasa lain seperti Puteri Selokan dari India, Maleesha Kharwa, yang terkenal selepas bertemu pelakon Amerika dan peminta sedekah jalanan dari Filipina, Rita Gaviola, yang berjaya mencipta nama dalam dunia peragaan selepas gambar tularnya mendapat perhatian.-UTUSAN










