PETALING JAYA: Pemanah wanita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, menyambut baik pengumuman Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang bakal menyaksikan acara berpasukan campuran compound dipertandingkan buat kali pertama di Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
Berita gembira itu membuka ruang buat pemanah berpengalaman seperti Fatin untuk mengejar impian ke temasya terbesar dunia selepas beberapa cubaan membawa acara tersebut ke pentas Olimpik sebelum ini tidak berjaya.
“Kita perlu menunggu pengesahan rasmi daripada pihak berwajib berkenaan format rasmi tetapi dari segi peluang, memang ada dan ia bergantung kepada program latihan.
“Dari segi perasaan saya, sudah pasti saya gembira dan teruja sebab kita tahu sudah lama, saya rasa dari Tokyo 2020 lagi yang acara compound campuran cuba diadakan tapi tak dapat dan akhirnya baru dimasukkan walaupun satu acara sahaja,” kata Fatin.
Atlet berusia 34 tahun itu bagaimanapun menjelaskan bahawa belum ada perubahan ketara dalam latihan setakat ini memandangkan pengumuman tersebut masih baharu dan memerlukan perancangan lanjut daripada pihak kejurulatihan.
Beliau turut dimaklumkan bahawa persatuan mungkin akan memperkenalkan sistem pemilihan baharu berdasarkan merit sebagai sebahagian daripada persiapan menjelang LA 2028.
“Kemungkinan besar dari segi sistem latihan mungkin akan berubah sebab kita perlukan persiapan yang rapi menuju LA 2028,” katanya.
Sehingga kini, acara compound hanya dipertandingkan di kejohanan dunia, Sukan Asia serta Sukan SEA tetapi tidak termasuk dalam program Olimpik sejak 1972 acara recurve diperkenalkan. – UTUSAN










