ASEAN sepakat tolak tarif AS – PM

ASEAN sepakat tolak tarif AS – PM

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan orang ramai selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Al-Syakirin Gombak, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: ASEAN sepakat menolak cadangan tarif yang mahu diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke atas negara-negara rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dalam perjumpaan pemimpin-pemimpin ASEAN di Kuala Lum­pur baru-baru ini.

Menurut beliau, negara-negara ASEAN akan membuat perbincangan lanjut bagi mencari pendekatan untuk mengatasi tarif berkenaan secara bersama.

“Kita ada dua sesi minggu lalu, pertama dengan Menteri Perdagangan Pelaburan yang membincangkan masalah kita menghadapi tarif (AS). Alhamdulillah, nampak konsensus ki­ta tidak bersetuju dengan tarif yang dikenakan.

“Kemudian semalam, bersama semua menteri kewa­ngan ASEAN hadir dan membe­ri pandangan yang sama dan ini satu kemajuan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Asy-Syakirin di sini, yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Trump sebelum ini mengumumkan tarif timbal balik ke atas negara di seluruh dunia termasuk ASEAN dengan kadar asas sebanyak 10 peratus, bergantung kepada defisit daga­ngan, sebahagian daripada dasar ‘Hari Pembebasan’ beliau.

Bagi ASEAN, negara-negara blok itu dikenakan tarif berbeza misalnya Singapura sebanyak 10 peratus, manakala Malaysia 24 peratus, Vietnam (46 peratus), Indonesia (32 peratus), Kemboja (49 peratus), Filipina (17 peratus), Myanmar (44 peratus), Laos (48 peratus), Brunei (24 peratus)

Bagaimanapun, AS mengumumkan penangguhan selama 90 hari pelaksanaan tarif itu yang bermula 5 April dan 9 April lalu, selepas menerima permin­taan daripada negara terbabit, termasuk Kesatuan Eropah (EU).

Penangguhan dilaporkan me­libatkan lebih 75 negara termasuk Malaysia yang akan terlibat dalam sesi rundingan semula membabitkan isu berkaitan per­da­gangan, halangan perdagangan, tarif, manipulasi mata wang dan bentuk tarif bukan monetari.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan, Malaysia akan mengadakan sambutan ke atas Presiden China, Xi Jinping yang dijadual melawat negara ini pada 15 hingga 17 April ini.

“Kita akan sambut Presiden China dan saya harap sambutannya meriah,” ujarnya.

Sementara itu, dalam satu majlis di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, Anwar dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang undang-undang daripada Universiti Shenandoah, AS yang disampaikan oleh Presiden universiti berkenaan, Dr. Tracy Fitzsimmons.

Anugerah itu merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan Anwar dalam kepimpinan dan pembangunan masyarakat.

“Saya pun ada, semua VIP (orang kenamaan) pun ada,” katanya kepada pemberita selepas program `Meet Anwar @IIUM: A Special Homecoming’ di UIAM.

Mengenai isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dibangkitkan dalam program itu, Anwar berkata, hutang terkumpul PTPTN yang kini berjumlah hampir RM40 bilion, boleh meningkat kepada RM50 bilion sekiranya pembiayaan itu ditingkatkan.

Bagaimanapun jelas beliau, kerajaan akan terus meneliti keperluaan untuk meningkatkan pembiayaan PTPTN bagi membantu pelajar berdasarkan keperluan mereka.

Menurut beliau, aspek pendidikan perlu memupuk kecerdasan intelek, malah nilai-nilai kebebasan, keamanan dan perpaduan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×