Tergamam saya apabila membaca berita kanak-kanak lelaki 10 tahun hamilkan sepupu berusia 15 tahun.
Sukar otak saya memproses berita itu kerana saya mempunyai anak saudara lelaki berusia 10 tahun.
Dia masih bersifat keanak-anakan. Suka bermain basikal lajak dan meminta wang untuk membeli aiskrim dan jajan. Ya, itu sifat kanak-kanak yang normal pada saya.
Tidak terjangkau dek akal bagaimana di usia itu sudah pandai melakukan hubungan intim.
Saya pernah berbual bersama pengetua pusat rumah perlindungan dan bimbingan remaja mengenai perkara ini.
Dengan kehadiran penghuni di bawah umur tanpa henti, timbul di benak saya di mana mereka belajar tentang ini?
Jawapan yang diberikan sangatlah mengejutkan. Anak-anak ini belajar pornografi daripada ibu bapa mereka sendiri!
Ibu bapa menonton filem yang mengandungi adegan-adegan lucah di depan anak-anak.
Daripada situlah anak-anak ini belajar mengenai perbuatan-perbuatan seksual tersebut.
Kata pengetua, anak nampak seperti tidak tahu apa-apa tetapi sebenarnya mereka ‘menyerap’ segala adegan yang dipamerkan.
Malah, disebabkan rasa ingin tahu yang membuak-buak, ada yang mula mencari di internet mengenai perkara itu yang akhirnya menjebakkan mereka ke dalam dunia pornografi.
Bila sudah tengok pornografi di alam maya, mulalah hendak mencuba secara realiti. Kanak-kanak dan rasa ingin tahu mereka jangan dibuat main.
Kepada ibu bapa, ambil iktibar daripada perkara ini. Jangan sambil lewa lihat rancangan atau filem yang ‘bukan-bukan’ di depan anak-anak.
Lebih-lebih lagi yang ada aplikasi penstriman rancangan daripada luar negara.
Saya pun ada aplikasi itu tetapi saya hadkan rancangan kerana bagi saya ia sudah terlalu mengarut ketika ini.
Setiap filem atau siri drama pasti diselitkan sedikit adegan lucah malah lebih teruk semakin ‘dihalalkan’ pula mengenai perhubungan songsang dengan beberapa siri mengetengahkan perkara itu.
Pantau juga perhubungan anak-anak dengan saudara-mara.
Bukanlah kena jarakkan hubungan tetapi wujudkan batasan antara lelaki dan perempuan supaya mereka tahu ada perkara yang boleh dan tidak untuk dilakukan walaupun bersaudara.
Sebab itu baru-baru ini apabila terbaca perkongsian seorang pempengaruh media sosial mengenai hubungan percintaannya bersama sepupu hingga ke jenjang pelamin, buat saya garu kepala.
Walaupun sekadar menjawab soalan pengikut mengenai bagaimana dia bertemu jodoh, tetapi tidak perlulah ‘diromantiskan’ perkara itu dengan penceritaan lengkap bagaikan sebuah novel cinta.
Bimbang anak muda terpengaruh. Memanglah kahwin sepupu tidak salah, tetapi tidaklah digalakkan kerana meningkatkan risiko penyakit turun-temurun.
Sama-samalah kita menjaga anak-anak muda kerana merekalah generasi yang akan memimpin negara suatu hari nanti.
Intan Suhana Che Omar adalah wartawan Utusan Malaysia.










