PETALING JAYA: Bursa Malaysia terus negatif sehingga didagangkan dibawah 1,400 semalam, kali terakhir pasaran saham tempatan ditutup dibawah angka tersebut adalah pada Ogos tahun lalu.
Ini selepas pasaran ekuiti itu menyaksikan kejatuhan sehingga 80 mata pada Isnin, iaitu kejatuhan harian paling teruk sejak Mac 2008.
FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencapai paras terendah sebanyak 1,386.63, jatuh 56.93 mata dalam sesi dagangan semalam.
Indeks penanda aras dibuka lemah pada 1,437.01, sebelum ditutup rendah 42.97 mata kepada 1,400.59 berbanding 1,443.56 pada penutupan pada Selasa.
Jumlah dagangan sebanyak 3.77 bilion unit bernilai RM3.78 bilion.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 919 berbanding 224 dengan 32 kaunter tidak berubah dan 887 tidak diniagakan.
Ketidaktentuan pasaran saham juga dilihat apabila SumiSaujana Group Berhad yang membuat penampilan sulung di Pasaran ACE semalam juga dibuka pada 18 sen sesaham, lebih rendah daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) permulaan pada 24 sen sesaham.
Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid pula berkata, kejatuhan harga saham di peringkat global adalah berikutan perang perdagangan yang secara rasminya telah pun berlaku sekarang.
“Tarif ini dilihat bakal memperlahankan atau berpotensi untuk menyebabkan kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat (AS).
“Ini adalah kerana tarif ini berfungsi seperti cukai yang akan menaikkan kos perniagaan dan kos ini berkemungkinan akan dipindahkan kepada pengguna akhir di AS.
“Memandangkan tahap ketidakpastian yang tinggi, maka pasaran saham global dijangka lemah dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, kejatuhan Bursa Malaysia hanya bersifat sementara kesan perubahan tarif Presiden AS, Donald Trump dan ditambah pula dengan kegusaran pelabur untuk membuat sokongan belian.
“Ramai pelabur khususnya pelabur institusi cuba menjual pegangan mereka untuk ‘cut bigger loss’ kerana pasaran saham dunia yang tidak menentu kesan polisi tarif baharu Trump.
“Namun begitu dijangkakan akan ada pemulihan teknikal beberapa hari lagi kerana banyak saham berada pada tahap terendah pada tahun ini,” katanya .
Jelas Mohd. Rizal, tindakan mengaut keuntungan jangka pendek juga dijangka berlaku sehinggakan negara-negara di dunia nampak jalan keluar hasil polisi tarif baharu Trump, di samping kegusaran kemelesetan ekonomi dunia global.
“Saya mencadangkan kepada pelabur runcit sebaiknya perlu tunggu dan lihat dalam seminggu dua ini untuk membuat keputusan pelaburan.
“Bagi pelabur institusi penurunan harga ini adalah dijangkakan masa terbaik untuk membuat belian saham terpilih yang memiliki asas yang kukuh,” katanya.
Mohd. Rizal turut menjangkakan paras pasaran saham berada pada paras 1,370 ke 1,400 pada minggu ini.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, penurunan agak ketara sejak kebelakangan ini sebab ada beberapa faktor yang mempengaruhi di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Antaranya ketegangan perdagangan global melibatkan implementation tarif oleh AS kepada beberapa negara misalnya China.
“Dari aspek pelaburan, pelabur lebih berhati-hati dalam aktiviti pembelian dalam pasaran saham disebabkan berlaku ketidakpastian dalam prospek ekonomi global,” katanya.-UTUSAN










