PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi jaminan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam siasatan insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selasa lalu.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau mengikuti rapat perkembangan kejadian itu dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada pegawai kementerian serta agensi berkaitan.
“Tiada kata yang dapat menggambarkan kesedihan dan simpati terhadap semua pihak yang terkesan akibat kejadian ini. Keselamatan dan kesejahteraan rakyat adalah keutamaan kami,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, jumlah mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights terus meningkat kepada 379 orang daripada 97 keluarga setakat pagi semaam.
Peningkatan itu dipercayai berpunca daripada kepulangan ahli keluarga dari kampung serta pesakit yang telah keluar dari hospital selepas menerima rawatan susulan.
Menurut Alexander, semua agensi di bawah KKR, sama ada secara langsung atau tidak langsung, telah diarahkan untuk memberikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan agar ia dijalankan secara menyeluruh dan telus.
Beliau menegaskan, KKR bersedia mengenal pasti punca kejadian serta melaksanakan langkah pencegahan bagi memastikan tragedi serupa tidak berulang.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) turut bersedia menyalurkan bantuan dalam bentuk nasihat dan kepakaran teknikal jika diperlukan pihak berkuasa.
“Saya merayu agar orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan lancar dan adil. Kementerian akan terus memantau perkembangan siasatan dan memberikan komitmen sepenuhnya demi keselamatan awam,” katanya. – UTUSAN











