Era kejatuhan ikon sayap kanan Marine Le Pen

Era kejatuhan ikon sayap kanan Marine Le Pen

PRESIDEN parti RN dan Ketua Ahli Parlimen Eropah (MEP), Jordan Bardella (kiri) dan Marine Le Pen menghadiri persidangan RN di Nice, selatan Perancis, pada 6 Oktober 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘KEMATIAN politik saya, itulah yang mereka mahukan’.

Demikian dakwaan Marine Le Pen pada November lalu, satu ramalan yang kini menjadi kenyataan.

Pemimpin sayap kanan Perancis yang tiga kali mencuba merebut jawatan presiden itu kini disekat daripada bertanding selama lima tahun setelah diputuskan mahkamah, baru-baru ini.

Keputusan itu bukan sahaja menggugurkan pesaing utama dalam perlumbaan presiden 2027, malah mencetuskan gempa yang menggegarkan landskap politik Perancis.

Isnin lalu, mahkamah jenayah di Paris mendapati ahli politik nasionalis itu bersalah dalam kes penyelewengan dana.

Mahkamah Paris menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap Le Pen, dengan dua tahun daripadanya ditangguhkan dan perlu dijalani di bawah tahanan rumah serta denda 100,000 euro (RM483,584).

RN turut diperintahkan membayar denda 2 juta euro (RM9.7 juta) atas kesalahan menyeleweng dana sebanyak 4.1 juta euro (RM19.9 juta).

Namun, hukuman itu tidak semestinya melemahkan parti National Rally (RN), sebaliknya berpotensi mencetuskan kebangkitan baharu dengan memberi peluang untuk RN membentuk identiti yang lebih bebas daripada bayangan Le Pen.

Keputusan itu juga membuka laluan bagi RN untuk meneruskan perjuangan politik tanpa dibayangi kontroversi nama keluarga yang selama ini menjadi aset dan liabiliti parti tersebut.

SENJATA POLITIK

Bagi penyokong RN, keputusan mahkamah mengukuhkan kepercayaan bahawa sistem dimanipulasi untuk menentang mereka.

Sesetengah pihak melihatnya sebagai serangan terhadap demokrasi, dengan Le Pen sendiri menggambarkan keputusan tersebut sebagai cubaan untuk mengekang ‘kehendak rakyat’.

Beliau mendakwa sistem keadilan dijadikan senjata politik, sama seperti dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang sering menyifatkan siasatan terhadapnya sebagai ‘pemburuan ahli sihir’.

Le Pen, dilahirkan pada 5 Ogos 1968 di Neuilly-sur-Seine, Perancis.

Sepanjang hidupnya, beliau hidup dalam bayang-bayang bapa, Jean Marie Le Pen.

Hubungan mereka juga menjadi subjek perhatian banyak media kerana Le Pen dikatakan rapat dengan bapanya.

Selepas ibu bapanya bercerai, ikon sayap kanan itu menghabiskan banyak masa di pejabat Jean Marie.

Bapanya mengetuai parti sayap kanan Barisan Nasional yang ditubuhkan pada 1972.

Le Pen pandai dalam ucapan awam dan berminat dengan undang-undang.

Kemudian, pada 1998, beliau menjadi penasihat undang-undang kepada parti Barisan Nasional, yang pada 2018 menukar namanya kepada RN.

Semasa mengetuai parti, Le Pen berusaha untuk mengubah imej parti yang terkenal dengan anti-Semitik dan perkauman.

Aspirasi parti Le Pen mencetuskan perbalahan dengan bapanya dan beliau hanya mampu mengarahkan Barisan Nasional mengikut kehendaknya semasa menjadi presiden parti pada 2011.

Pada tahun sama, Le Pen mewakili Barisan Nasional pada pilihan raya presiden 2012 menentang penyandang, Nicolas Sarkozy dan calon Francois Hollande.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×