Irene Deanna penjual kereta’ popular di Malaysia

Irene Deanna penjual kereta’ popular di Malaysia

Irene Deanna Marof Khan merupakan Pengarah Urusan Utama Motors.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBELAKANGAN ini, khidmatnya sering menjadi pilihan ramai golongan dalam urusan pembelian kereta mewah.

Antaranya termasuk kalangan kenamaan, selebriti serta pempengaruh.

Justeru tidak hairanlah apabila dirinya diberi julukan ‘penjual kereta’ paling popular di Malaysia.

Walaupun memegang jawatan tinggi sebagai Pengarah Urusan Utama Motors, namun Irene Deanna Marof Khan, 26, tidak kekok turun ke lapangan.

Beliau seronok terlibat dalam kerja-kerja jualan kerana cara itu dapat mendekatkannya dengan pelanggan.

Dalam masa sama, membolehkannya memberi perkhidmatan terbaik dan menjamin kepuasan golongan sasar.

Gadis jelita ini percaya menerusi sentuhan peribadi itu jugalah perniagaan warisan keluarganya dapat terus maju dan berkembang.

“Perniagaan kita tidak sebesar syarikat-syarikat ternama lain, oleh itu saya perlu sentiasa dekat dengan pelanggan.

“Meniaga ini ada adatnya dan cara saya ialah dengan berjumpa serta berkomunikasi secara terus dengan mereka,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Sepanjang penglibatan anak sulung daripada enam beradik ini dalam penjualan kereta, banyak nilai-nilai murni dan pengajaran hidup yang dipelajarinya.

Salah satunya tentang menghargai insan tersayang selagi mereka masih bernyawa.

“Hati saya sebak apabila seorang pelanggan sanggup menghadiahkan kereta mewah demi membahagiakan anaknya yang menderita kanser tahap empat.

“Daripada situ saya belajar yang pengorbanan kasih sayang sebenarnya mengatasi wang ringgit.

“Selain itu, aktiviti menjual kereta turut mengajar saya supaya tidak lekas menghakimi seseorang berdasarkan penampilan luarannya semata-mata kerana ada pelanggan yang nampak ‘selekeh’ tetapi sebenarnya

lebih berduit berbanding yang mempamerkan jenama,” katanya.

KALIS GODAAN NAKAL

Lumrah kerjayanya, Irene Deanna tidak terkecuali daripada digoda pelanggan yang miang.

Namun, beliau berjaya menangkis dan menepis setiap godaan itu dengan bijak.

“Ini antara cabaran besar bagi wanita yang terlibat dalam kerjaya atau perniagaan menjual kereta kerana pasti ada pelanggan yang cuba-cuba ‘mengayat’.

“Masa baru-baru dulu saya tidak nampak perkara ini tetapi bila sudah lama, saya dapat ‘baca’ jika pelanggan ada niat lain.

“Cara saya mudah sahaja dengan terus ‘potong’ topik yang menyimpang dan fokus hanya kepada urusan jual beli sahaja.

“Ada segelintirnya tetap membeli kereta tetapi ada juga yang sebaliknya dan saya anggap itu bukan rezeki,” katanya.

Bagaimanapun, Irene Deanna bersyukur kerana terpelihara daripada kejadian tidak diingini memandangkan sentiasa di bawah jagaan ibu bapanya, Datuk Marof Khan Mohamed Idris dan Datin Suzana Kamaruddin di pejabat.

Beliau juga sering mengenakan pemakaian sopan ketika aktiviti jual beli kenderaan dengan pelanggan.

Baginya, pendekatan itu memudahkan dan melancarkan lagi urusan komunikasi di samping dapat membendung rasa cemburu pasangan pelanggan.

“Baju kurung sudah menjadi pakaian rasmi saya setiap hari ketika berjumpa pelanggan.

“Dengan penampilan sopan, sekurang-kurangnya dapat mengelakkan saya daripada godaan lelaki di samping rasa cemburu isteri atau teman wanita pelanggan,” katanya yang memiliki lebih 50 koleksi baju kurung.

Ketepi cinta, fokus kerja

Pernah dikaitkan dengan seorang selebriti lelaki sebelum ini, kata Irene Deanna, berita itu hanya gosip semata-mata.

Buat masa ini, beliau belum terfikir untuk bercinta sambil mengakui tiada teman istimewa yang bertakhta di hati.

“Fokus saya sekarang hanya pada kerja dan soal cinta atau perkahwinan saya tolak tepi dahulu.

“Ibu bapa pun tidak mendesak saya berkahwin jadi saya tidak tergesa-gesa untuk ke arah itu,” katanya.

Sebagai perancangan masa hadapan, beliau berhasrat melebarkan lagi sayap perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan bengkel pula di bilik pameran kereta yang terletak di Jalan Ampang itu.

Ia sekali gus bakal membolehkan Utama Motors menjadi pusat sehenti bagi pembelian kereta mewah terpakai di Malaysia.

Katanya, antara kereta yang laris kini ialah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dan Vellfire di samping kereta mewah seperti Lamborghini.

Ketika ditanya tahap pengetahuannya tentang kereta, jujur dijawabnya hanya biasa-biasa sahaja.

“Orang mungkin ingat saya tahu serba-serbi tentang kereta mewah tetapi pengetahuan saya di tahap asas sahaja.

“Saya fahami ciri-ciri kereta dan cuba terangkan sebaik mungkin kepada pembeli, tetapi saya beritahu mereka awal-awal saya bukan pakar,” katanta tertawa.

Mangsa ejekan

Selain berwajah cantik dan tinggi, tarikan Irene Deanna terletak pada rambutnya yang keriting.

Ia sekali gus membuatkan penampilan gadis ini lebih anggun dan menawan dengan baju kurung yang menjadi pakaian rasminya.

“Rambut saya memang keriting sejak lahir dan saya selesa dengannya kerana sudah menjadi sebahagian identiti diri.

“Sebenarnya, menguruskan rambut keriting lebih mudah berbanding rambut lurus yang lebih tinggi kos penjagaannya,” ujarnya.

Di sebalik rambutnya yang cantik, hakikatnya beliau pernah menjadi mangsa ejekan kawan-kawan di sekolah.

Antara ejekan itu termasuk mi segera dan hantu kak limah, namun, ia tidak sesekali melemahkan semangat Irene Deanna.

“Saya biarkan dan buat bodoh sahaja dengan ejekan itu lama-lama mereka pun senyap.

“Memasuki sekolah menengah, ejekan makin berkurangan sebab saya sudah faham teknik sesuai untuk menggayakan rambut keriting,” katanya.

Amal air jamu kunyit

Berkongsi rahsia kecantikan dan kesihatannya, Irene Deanna mengamalkan pengambilan air jamu kunyit setiap hari.

Amalan itu bermula sejak remaja lagi dan diteruskan hingga kini kerana meningkatkan metabolisme, melancarkan peredaran darah, mengurangkan kolestrol dan meningkat sistem imun.

“Saya selalu bertukar-tukar resipi tetapi bahan asasnya ialah kunyit, halia, asam jawa, serai, madu, lada hitam dan gula tanpa kalori.

“Air jamu ini saya minum dua kali sehari pada sebelah pagi dan malam,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut gemar makan sayur dan buah-buahan.

Pengambilan bahan semula jadi bukan sahaja mencergaskan tubuh, malah mampu menjaga kecantikan wajah dan rambut.

“Saya pernah memiliki berat 128 kilogram dan membeli produk suplemen untuk kurus tetapi tiada sebarang perubahan.

“Akhirnya saya berbalik kepada konsep, kita adalah apa yang kita makan. Bermula daripada itu saya amalkan pemakanan sihat dan bersenam.

“Saya joging dan pergi gim tiga jam setiap hari. Setelah lapan bulan berusaha, saya dapat menurunkan lebih separuh berat asal,” katanya yang kini seberat 60 kilogram.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×