JOHOR BAHRU: Legenda ragbi New Zealand All Black, Sonny Bill Williams sedia membantu Johor melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Beliau yang juga dikenali dengan nama Hamzah berkata, ia merupakan satu penghormatan besar buat dirinya apabila dilantik sebagai Duta Sukan Johor.
“Saya percaya sukan mempunyai kuasa mengubah kehidupan, membentuk keperibadian dan menyatukan masyarakat. Komitmen ini selari dengan visi kerajaan Johor.
“Jadi apabila Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengajak saya untuk terlibat dalam pembangunan sukan di negeri ini, saya terus setuju,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Sonny Bill Williams di sini hari ini.
Pada 13 Mac lalu, Tunku Mahkota Ismail mengumumkan beberapa nama ikon sebagai Duta Sukan Johor termasuklah lagenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei dan beberapa lagi nama antaranya Khabib Nurmagomedov serta Tim Cahill.
Williams berkata, pihaknya sedia berkongsi pengalaman dan kepakaran yang dimiliki bagi memberi inspirasi kepada generasi atlet muda untuk berusaha gigih bagi mencapai impian mereka.
Melalui sesi latihan, program bimbingan serta pembangunan akar umbi, saya berharap dapat menyerap kepentingan disiplin, rasa hormat dan ketahanan diri atlet muda.
“Realitinya bukan semua mampu mencapai cita-cita menjadi atlet bertaraf dunia, tetapi semua orang mampu menjadi versi terbaik diri mereka,” katanya yang merupakan juara Piala Dunia Ragbi.
Pengarah MSNJ, Ekmaluddin Ishak memberitahu, pelantikan Williams bukan sahaja bertujuan membantu pembangunan sukan terhadap generasi muda negeri ini, tetapi juga menarik lebih banyak perhatian kepada ekosistem sukan Johor.
“Kerjasama antara MSNJ dan Sonny Bill Williams akan turut membuka lebih banyak peluang kerjasama antarabangsa sekaligus meningkatkan imej Johor dalam arena sukan global,” ujarnya.









