Gadis takut lebah kini pengusaha madu kelulut

Gadis takut lebah kini pengusaha madu kelulut

SITI Syazwani Abdul Rahim mengambil madu kelulut dari sebuah sarang yang diusahakan di Kampung Bukit, Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang gadis memberanikan diri menjadi penternak lebah madu kelulut setelah ditawarkan menyertai komuniti program Sejati Madani oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Bukit di sini.

Siti Syazwani Abdul Rahim, 23, mula mengusahakan ter­nakan lebah kelulut Oktober lalu selepas mengikuti kursus penternakan lebah di Melaka.

Katanya, walaupun peringkat awal takut diserang dan digigit lebah, kini dia teruja apabila dapat menuai hasil madu kelulut pada bulan ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada masa ini saya mempunyai enam sarang di pekarangan rumah di Kampung Bukit dan merancang menambah lebih banyak sarang selepas ini. Saya dapat hasil tuaian pertama madu lebih satu kilogram daripada enam sarang tersebut dan dijangka hasil tuaian terus bertambah.

“Saya berhasrat menjadi usahawan madu kelulut yang berjaya pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Siti Syazwani yang juga be­kerja sebagai jurujual di sebuah kedai runcit berkata, penternakan lebah madu kelulut tidak memerlukan penjagaan rapi kerana ia mencari makanan sendiri.

“Kos menyediakan sarang lebah dan peralatan yang digunakan dalam penternakan ini dibiayai sepenuhnya oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP),” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi JPKKP Kampung Bukit, Mohd. Helmy Ismail, 41, berkata, Siti Syazwani adalah antara 25 peseta komuniti di kampung itu yang mengusahakan ternakan lebah madu kelulut tersebut.

Katanya, JPP menyalurkan dana program Sejati Madani sebanyak RM100,000 kepada JPKKP kampung itu bagi menjayakan ternakan lebah madu kelulut meliputi kos kursus, sarang dan peralatan kepada semua peserta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN