PETALING JAYA: Kira-kira 50 peratus daripada lebih sembilan juta isi rumah berpendapatan rendah dijangka berdepan dengan tanggungan pinjaman selepas Hari Raya Aidilfitri kerana melakukan pelbagai pinjaman.
Provost Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, bebanan hutang sedia ada di samping pinjaman baharu menyebabkan separuh rakyat khususnya dalam kalangan B40 terus dihimpit bebanan kewangan kerana melakukan persiapan Aidilfitri sama seperti individu berkemampuan meskipun tidak mempunyai kemampuan kewangan yang stabil.
Katanya, sebelum ini dilaporkan jumlah pinjaman peribadi di Malaysia telah mencapai 84.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di samping 70,000 orang daripada 1.6 juta penjawat awam telah berhutang menjelang 1 Syawal.
“Malaysia mencatat kadar hutang isi rumah yang tinggi berbanding KDNK, dengan sebahagian besar hutang terdiri daripada pinjaman perumahan, kenderaan dan peribadi.
“Dengan tambahan hutang sedia, di samping pinjaman baharu sudah pasti akan menambah jumlah hutang setiap isi rumah termasuk golongan berpendapatan rendah.
“Kita akan lihat kesan daripada meminjam ini selepas Aidilfitri, mereka berisiko menghadapi muflis apabila perlu membayar jumlah pinjaman yang mereka sendiri tidak mampu untuk membayar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada bulan lalu, akhbar ini mendedahkan 70,000 penjawat awam melakukan pinjaman wang untuk membantu mereka melakukan pesiapan bagi menyambut Aidilfitri iaitu peningkatan sebanyak 10,000 daripada bulan biasa.
Selain itu, pekerja swasta pula didapati melakukan pinjaman dari pelbagai saluran termasuk ah long yang mengenakan bunga sangat tinggi, ini berpunca daripada trend menyambut Aidilfitri secara bermewah-mewah iaitu melangkaui keupayaan kewangan mereka.
Berdasarkan Kementerian Kewangan, isi rumah di negara ini sudah pun menanggung hutang yang berjumlah RM1.63 trilion sehingga akhir Disember tahun lalu dan dibimbangi penambahan hutang semata-mata untuk beraya akan membuat mereka lebih terbeban.
Dalam pada itu, Barjoyai berkata, musim perayaan merupakan tekanan yang besar kepada kumpulan pekerja terutama yang berpendapatan rendah.
Katanya, mereka juga berhutang untuk kos balik kampung yang membabitkan perbelanjaan minyak, tol, tambang bas dan kapal terbang khususnya dalam kalangan mereka berkeluarga dan kampung halaman terletak jauh dari tempat tinggal.
“Ini membayangkan bahawa kita secara tidak langsung sudah menjadi seperti masyarakat barat yang mana, setiap keluarga meminjam dan memerlukan tiga keturunan untuk melangsaikan hutang itu,” ujarnya.
Katanya, rakyat cenderung membuat pinjaman bukan untuk keperluan asas tetapi bagi perbelanjaan gaya hidup kerana dipengaruhi oleh tekanan sosial dan media.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kajian celik kewangan Malaysia 2024 mendapati hampir 40 peratus sahaja yang mempunyai kemampuan untuk menyimpan lebih RM500 setiap bulan.
“Tinjauan itu mendapati majoriti daripada kita sebenarnya tidak mampu untuk menyimpan lebih daripada RM500 setiap bulan. Oleh itu, sebahagian besar kumpulan kerja tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk digunakan bagi menyambut perayaan,” jelasnya.
Katanya, ketiadaan lebihan pendapatan menyebabkan golongan pekerja memilih untuk melakukan pinjaman bagi menyambut Aidilfitri.
“Sekiranya mereka mempunyai pendapatan mencukupi, mereka tidak perlu melakukan pinjaman kerana ada lebihan yang boleh digunakan untuk perkara tertentu seperti perayaan,” ujarnya.-UTUSAN











