Hasanah Salur Geran RM28 Juta Bantu Komuniti Terpinggir

Hasanah salur geran kepada 28 penerima bantu komuniti terpinggir

Yayasan Hasanah menganugerahkan geran kepada 28 organisasi masyarakat sivil di bawah Geran Khas Hasanah (HSG) 2024, memacu impak dalam pembasmian kemiskinan, pendidikan, kemampanan dan daya tahan ekonomi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Hasanah telah menganugerahkan Geran Khas Hasanah (HSG) 2024 kepada 28 pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dalam usaha untuk memperkukuh kesejahteraan komuniti terpinggir di negara ini.

Menurut Pemegang Amanah & Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki, geran ini bukan sekadar bantuan kewangan tetapi satu pelaburan untuk memupuk daya tahan, mengangkat maruah, dan menyemai harapan dalam kalangan komuniti.

“Di Hasanah, kami memahami setiap komuniti menghadapi cabaran mereka tersendiri. Oleh itu, kami menyokong organisasi yang mendengar suara komuniti serta berganding bahu mencipta penyelesaian yang mencerminkan keperluan dan aspirasi sebenar mereka,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, geran itu menyokong usaha berkaitan pembasmian kemiskinan, kesaksamaan jantina, kelestarian alam sekitar, pendidikan, dan ketahanan ekonomi selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, kesemua penerima geran akan melaksanakan model inovatif berasaskan Pendekatan Berasakan Komuniti (CBA) dalam projek yang dijalankan dengan sasaran untuk memberi manfaat kepada hampir 2,000 individu serta menjana lebih peluang pekerjaan.

Antara penerima geran pada tahun ini ialah Komited Malaysia yang membantu individu dalam pemulihan ketagihan dadah, Saora Industries yang menyokong penempatan pekerjaan bagi banduan parol dan Good Shepherd Services yang menangani kemiskinan tegar di Tongod, Sabah.

Selain itu, The Forest Transformation Malaysia Earthworm memperkasakan komuniti Orang Asli di Pahang melalui pertanian pelbagai dan eko-pelancongan manakala Ana CB Enterprise melatih wanita B40 di Baling, Kedah dalam bidang jahitan dan perniagaan bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Hasanah terus berkomited dalam mengubah kehidupan komuniti yang memerlukan dengan memberi peluang kepada mereka untuk membentuk masa depan sendiri dan sejak ditubuhkan, yayasan tersebut telah bekerjasama dengan 674 rakan kolaborasi dan memberi manfaat kepada lebih 3.47 juta individu di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN