Tenang dengan soalan cepu emas di hari raya

Tenang dengan soalan cepu emas di hari raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KALAU hari raya nanti ada mak cik yang bertanyakan bila hendak berkahwin, jawab sahaja boleh saya kahwin dengan suami mak cik?”

Tinggal beberapa hari sahaja lagi menjelang Aidilfitri, makin kerap pula hantaran sebegini melintas di media sosial saya. Perkongsian itu kononnya mengajar cara menjawab ketika mendapat soalan cepu emas di hari raya nanti, bila hendak kahwin?

Sejujurnya, ini hanyalah salah satu jawapan cadangan yang diberi. Banyak lagi jawapan-jawapan sinis lain yang rasanya tidak sanggup untuk saya tulis kerana terlalu biadap.

Tidak perlulah berkongsi perkara-perkara sebegini kerana bimbang akan menjadi ikutan anak-anak muda terutama remaja yang mudah terpengaruh.

Apatah lagi, golongan remaja ini yang ramai bermain media sosial. Perlukah berkelakuan kurang sopan hanya kerana ditanya soalan seperti itu? Sejujurnya, bagi saya soalan-soalan itu tidaklah ‘mengundang’ pun jika dipandang daripada sudut positif.

Kadang kala, bila dah sesekali berkumpul beramai-ramai sudah tentu yang lebih tua ini mahu bertegur sapa. Sekadar berbasa-basi untuk memeriahkan suasana. Bukannya mereka mahu tahu sangat pun bila anda hendak kahwin dan sebagainya.

Jawab sahaja belum bertemu jodoh dan minta mereka doakan yang baik-baik. Kalau rasa tidak selesa sangat cuba ubah topik perbualan, tanya mengenai kesihatan atau perkembangan terkini mereka.

Tidak perlu pun menjawab dengan cara kononnya savage semata-mata untuk menutup mulut mereka.

Bukan sahaja akan menyebabkan suasana tegang, malah mungkin akan memalukan ibu bapa sendiri kerana dianggap tidak pandai mendidik anak beradab dengan orang tua.

Lebih teruk, hari raya yang sepatutnya menjadi medan mengeratkan silaturahim menjadi permulaan bermasam-muka antara saudara. Bak kata pepatah, lidah lebih tajam daripada mata pedang.

Sama juga dengan soalan ‘bila hendak ada anak atau tambah anak?’

Minta mereka doakan yang terbaik dan mana tahu mereka boleh berkongsikan tips orang lama untuk ikhtiar zuriat dan sebagainya.

Tidak rugi berbuat baik dengan orang tua apatah lagi jika jumpa pun setahun sekali. Jangan sampai kerana soalan ringkas itu menyebabkan anda bersikap kasar dengan mereka.

Dalam hidup ini, kalau hendak bahagia janganlah terlalu mengambil serius semua benda. Kadang kala, perlu juga mengamalkan sikap terbuka dan berlapang dada. Saya juga antara yang tidak terlepas mendapat soalan sebegitu sewaktu belum berkahwin dahulu. Sekarang sudah berkahwin dan mendapat anak, ditanya lagi bila hendak tambah anak.

Soalan-soalan ini tidak akan pernah berhenti tetapi bersyukurlah kerana mereka masih mahu menegur dan berborak dengan kita. Jika mereka buat tidak tahu sahaja, nanti dikata orang tua pilih bulu pula. Apa pun selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin untuk semua.

-Intan Suhana Che Omar adalah wartawan Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×