Saingan sengit dalam talian dilema peniaga bazar Aidilftiri

Harga tapak mahal, saingan sengit dalam talian dilema peniaga bazar Aidilftiri

NUR Batrisyia Alya Mohd Ali masih berniaga kuih raya milik keluarganya secara fizikal di Bazar Aidilfitri Dataran Jam Besar, Sungai Petani, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Bazar Aidilfitri dianggap masih relevan sebagai lubuk rezeki bagi peniaga meskipun mereka mengakui mengalami penurunan hasil jualan kerana terpaksa bersaing dengan perniagaan dalam talian dan faktor penurunan kuasa membeli.

Tinjauan Utusan Malaysia di Bazar Aidilfitri Dataran Jam Besar, baru-baru ini mendapati terdapat peniaga yang menjana pendapatan melalui perniagaan fizikal dan dalam talian secara serentak sementara sebahagian lagi hanya fokus kepada perniagaan fizikal.

Peniaga baju raya wanita, Rose Elisa Nadzri, 27, berkata, tahun ini dia kali pertama menjalankan perniagaan fizikal dan dalam talian secara serentak berbanding hanya secara fizikal sejak tiga tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, jualan secara dalam talian hanya mendapat sambutan hangat pada minggu pertama dan kedua Ramadan sebelum orang ramai mula beralih kepada pembelian secara fizikal pada minggu-minggu akhir bulan ini.

“Kita kena faham tak semua mampu beli dan buat persediaan awal, ada yang terpaksa tunggu gaji dahulu baru boleh berbelanja untuk raya. Dekat-dekat nak raya nanti orang akan mula bagi tumpuan di bazar Aidilfitri sebab kalau nak beli dalam talian ramai yang takut barangan tak sempat sampai sebelum raya,” katanya.

Sementara itu, peniaga kuih raya, Nur Batrisyia Alya Mohd Ali, 26, berkata, keluarganya mula berniaga kuih raya di bazar Aidilfitri itu lebih 10 tahun lalu termasuk memiliki sebuah kedai di Sungai Lalang.

“Setakat ini perniagaan kami memang secara fizikal sahaja, daripada segi jualan memang ada sedikit penurunan berbanding tahun-tahun sebelum ini mungkin sebab sudah ramai orang jual kuih raya atau ada yang pilih untuk buat sendiri.

“Tapi kami masih kekalkan berniaga secara fizikal sahaja selain kaedah jualan melalui agen-agen dari pelbagai negeri,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung yang ditemui, Nur Atikah Abd Rahmah, 38, berkata, dia lebih memilih untuk membeli pakaian di bazar Aidilfitri berbanding secara dalam talian.

“Sebelum ni memang saya ada beli dalam talian tapi saya rasa macam leceh sebab kalau tak padan saiz kena pos balik untuk tukar dan ambil masa lama jadi tahun ni saya putuskan untuk beli di bazar sahaja,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN