Sindiket dadah tumpas, bahan terlarang RM6.52 juta dirampas

Sindiket dadah antarabangsa tumpas, bahan terlarang RM6.52 juta dirampas

HAMZAH Ahmad menunjukkan hasil rampasan dadah dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM6.52 juta dalam tiga serbuan di sekitar Juru dan Mak Mandin, Sabtu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam operasi yang bermula kira-kira pukul 3 petang kelmarin hingga 10 pagi semalam, dua suspek berusia 20 dan 27 tahun yang dipercayai ahli sindiket rangkaian dadah berkenaan turut di­tahan.

Katanya, kedua-dua suspek iaitu lelaki tempatan dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ sindiket dadah tersebut dan dipercayai memperoleh seba­nyak RM3,000 bagi setiap trip perjalanan dengan membawa dadah.

“Sindiket ini aktif sejak awal tahun 2025 dan terlibat dalam penghantaran dadah ke negara jiran dengan menggunakan laluan laut.

“Mereka membawa masuk bekalan dalam jumlah besar dari negara jiran di utara, sebelum membungkus semula di Pulau Pinang untuk dihantar ke negara jiran di seberang laut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, semalam.

Menurut Hamzah, serbuan pertama dilakukan di Juru, Seberang Perai Tengah (SPT) yang membawa kepada penahanan seorang pemandu lori berusia 27 tahun yang menyimpan dadah dalam kereta.

“Suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Mak Mandin, di mana jumlah dadah yang lebih besar di­temukan dalam kenderaan dan rumah suspek. Turut ditahan ialah seorang lagi suspek ber­usia 20 tahun yang merupakan penganggur,” katanya.

Hamzah berkata, antara dadah yang dirampas ialah 38.8 kilogram (kg) serbuk MDMA bernilai RM6.42 juta, 6.8 kilogram heroin bernilai RM65,000, 946 gram syabu bernilai RM30,000 dan 50.4 gram ketamin bernilai RM10,000.

“Sindiket ini dipercayai mampu membekalkan dadah kepada lebih 100,000 pengguna,” katanya yang memberi­tahu, kedua-dua suspek tidak positif dadah, namun memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×