SABAN tahun, sambutan Aidilfitri bagi keluarga Rogayah Ismail, 69, berlangsung penuh meriah di kediamannya di Kampung Tahan, Kuala Kangsar, Perak.
Kesemua tujuh anak di samping menantu dan 20 cucu pulang ke kampung bagi meraikan Syawal bersama-sama.
Riuh-rendah suasana rumah dengan usikan mesra dan gelak tawa mereka sama ada ketika berbual, mengemas mahupun memasak.
Melihat keakraban keluarga ini, hati terdetik untuk mengetahui rahsia atau amalan mereka kekal rukun dan harmoni terutama pada Hari Raya Aidilfitri.
Apatah lagi, tempoh ini sering dikaitkan dengan pelbagai krisis dan konflik bukan hanya antara pasangan, malah sesama adik-beradik, ipar duai dan mentua.
Anak keempat, Meor Saiful Asuad Meor Kasim, 44, berkata, sikap saling memahami, toleransi dan bermuafakat merupakan kunci utama kepada keharmonian keluarganya selama ini.
Ia sekali gus memudahkan segala urusan dan persiapan raya yang dirancang termasuklah berkaitan ‘cukai Syawal’.
“Setiap tahun, saya merupakan bendahari cukai raya dan kali ini masing-masing perlu membayar RM400 bagi perbelanjaan sepanjang bercuti di kampung.
“Amalan ini sudah diamalkan lebih sedekad lalu, kerana kami tidak mahu membebankan emak atau adik-beradik lain.
“Menerusi kutipan bernilai RM2,800, kami gunakan untuk membeli juadah raya dan pembayaran bil utiliti,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Masak, kemas bersama-sama
Bercerita lanjut, pensyarah yang menetap di Klang, Selangor ini berkata, adik-beradiknya bukan hanya berkongsi wang perbelanjaan raya, malah saling berganding bahu memasak dan berkemas.
Ujarnya, masing-masing memiliki peranan dan tugasan khas yang perlu diselesaikan setiap kali raya.
Sebagai contoh, abang sulungnya, Meor Jamel, 51, bertanggungjawab memastikan kediaman bonda dalam keadaan kemas dan bersih termasuk memasang langsir, permaidani serta menghias atau menyusun atur perabot.
Manakala kakak kedua, Wan Azlina, 48, menyediakan barangan keperluan memasak di samping mengemas kawasan luar rumah diikuti kakak ketiga, Wan Nizla, 46, yang bertindak sebagai cef.
“Saya pula melakukan tugasan berat dan kasar seperti mencari buluh dan mengutip 50 biji kelapa dari kebun untuk dibuat lemang, memotong rumput di sekeliling rumah serta memasang pelita panjut.
“Sebab itulah saya selalu balik paling awal iaitu tiga hari sebelum raya kerana banyak kerja yang perlu dilakukan di kampung,” katanya.
Manakala tiga adiknya, Wan Syuhada, 42; Wan Salwa, 38 dan Wan Fahima, 34, berperanan membantu kerja-kerja mengemas, memasak serta menghidangkan makanan kepada tetamu.
Walaupun segelintir melihat aktiviti memasak dan mengemas rumah itu menyusahkan serta leceh tetapi tidak buat Meor Saiful Asuad.
“Budaya ini sudah sebati dalam keluarga saya kerana sejak kecil kami diasuh memasak dan mengemas.
“Walau berkecah macam mana sekali pun, kami tetap akan buat bersama-sama tanpa ada rasa terpaksa,” katanya.
Malah, tradisi itulah yang menjadi medium terbaik dalam mengeratkan lagi silaturahim mereka.
“Sambil-sambil buat kerja, kami dapat berbincang pelbagai topik termasuk kerjaya, ekonomi, politik dan hiburan.
“Apabila ada isu-isu menarik, adik-beradik lain pun akan menyampuk dan nikmat inilah yang paling bermakna apabila kita dapat bertukar-tukar cerita serta bergelak ketawa,” katanya.
Rendang daging masak Malaysia
Antara menu raya wajib di rumahnya ialah lemang yang dicicah bersama rendang daging masak Malaysia.
Rendang itu merupakan air tangan istimewa ibunya dan tidak dijumpai di mana-mana.
“Resipi ini adalah olahan emak dan menjadi kegemaran tetamu yang berkunjung ke rumah.
“Selain itu, menu-menu yang ditunggu-tunggu setiap kali raya ialah laksa atau mi kari,” katanya.
Juadah lain ialah rendang ayam pedas, rendang tok, daging masak ros, gulai acar ikan sungai, ikan masak taucu serta nasi himpit.
“Jumlah sajian untuk raya kebiasaannya memang banyak, kira-kira 15 ekor ayam, enam kilogram (kg) daging diikuti 15kg laksa.
“Setiap tahun tetamu memang ramai sebab rumah emak asalnya merupakan peninggalan datuk, oleh itu ia menjadi tumpuan saudara-mara untuk datang berkunjung.
“Sebab itulah, juadah cepat habis dan paling lama ia dapat bertahan tidak sampai dua hari,” kata bapa kepada tiga anak ini.
Menu-menu sama itu kemudian akan diulang masak semula setelah kehabisan.
Tidak pernah huni inap desa
Menjadi amalan kebanyakan keluarga kini memilih tinggal di inap desa apabila pulang beraya di kampung halaman masing-masing.
Namun tidak bagi Meor Saiful Asuad dan enam beradiknya yang lain.
Mereka masing-masing memiliki bilik sendiri di kampung untuk tidur dan privasi.
“Ini juga mungkin antara sebab kami akrab sebab semua berada di bawah satu bumbung dan tiada isu perlu menginap di inap desa.
“Emak sudah menyediakan tujuh bilik untuk setiap anaknya bagi menjamin keselesaan dan kemudahan ketika balik ke kampung,” katanya.
Paling lama adik-beradiknya bercuti raya di rumah adalah selama sembilan hari manakala paling sedikit ialah lima hari.
“Selalunya, selepas cuti habis dan adik-beradik beransur balik, emak pasti menangis sebab rumah kembali sunyi.
“Walaupun kami buat giliran untuk emak tinggal bersama tetapi dia tidak mahu dan tetap mahu tinggal di rumah sendiri,” katanya.
Ketika ditanya apakah tradisi beraya bersama itu masih wujud setelah pemergian ibunya kelak, mereka adik-beradik sepakat untuk meneruskannya.
“Persoalan ini selalu timbul dalam benak fikiran kami dan topik perbincangan bersama apabila berkumpul.
“Tetapi kami cuba sedaya-upaya untuk mengekalkan tradisi berkumpul bersama adik-beradik sampai bila-bila, insyaAllah,” katanya yang aktif melakukan hari keluarga dan pelbagai aktiviti bersama,” katanya.-UTUSAN











