Membayangkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun berjalan dan berbaring-baring di atas badan seekor buaya mungkin kedengaran seperti adegan filem fiksyen.
Namun, bagi Saifullah Muhammad Sarath, 35, itu adalah permulaannya bersahabat dengan sang bedal itu.
Lahir dan membesar di Melaka, Saifullah atau lebih dikenali sebagai ‘Bang Buya’ bukan sekadar seorang penjaga reptilia, tetapi mempunyai minat mendalam terhadap binatang buas.
Menurutnya, dia suka mendalami mengenai haiwan buas, namun minat itu bukan datang secara tiba-tiba sebaliknya ia disebabkan dia sudah terbiasa dengan kehadiran reptilia purba ini.
“Ayah saya merupakan Pengurus Operasi Taman Buaya dan Rekreasi Melaka dan sejak kecil, saya sering dibawa ke tempat kerjanya.
“Di sanalah saya mula mengenali buaya, mengamati pergerakan dan tabiat haiwan itu dengan penuh minat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Siapa sangka, krisis ekonomi yang melanda negara pada tahun 1997 hingga 1998 menjadi titik tolak kepada perjalanan hidupnya bersama haiwan ini.
“Ketika taman buaya mengalami kemerosotan pengunjung, ayah saya mengusulkan satu idea berani iaitu mengadakan pertunjukan kanak-kanak beraksi dengan buaya, sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
“Ayah kemudian bertanya kepada saya dan tanpa ragu, saya bersetuju untuk dilatih membuat persembahan bersama buaya demi menarik kehadiran orang ramai,” ujarnya.
Begitupun, bapanya mengambil langkah keselamatan yang ketat sebelum pertunjukan itu berlangsung.
Kata bapa tiga orang anak ini, dia perlu menjalani latihan intensif bagi memastikan keselamatannya terjamin.
Selama hampir enam bulan, Saifullah berlatih menggunakan batang pisang dan kayu sebagai pengganti buaya.
“Saya perlu memastikan keseimbangan ketika berjalan, duduk dan berbaring di atasnya sebagai salah satu persiapan yang penting sebelum melakukan aksi sebenar.
“Selain itu, saya perlu faham pergerakan buaya dahulu, sebab ia bukan macam haiwan peliharaan yang jinak. Kalau salah langkah, boleh kena baham,” jelasnya.
Tahun 1999 menjadi detik bersejarah apabila dia tampil sebagai ‘Putera Buaya’ dalam pertunjukan rasmi yang memukau penonton dengan keberaniannya.
Aksi luar biasanya bukan sahaja mencuri tumpuan dalam negara, malah turut mendapat liputan media antarabangsa seperti Jepun, Indonesia dan Brunei.
Beberapa tahun kemudian, Saifullah kembali ke dunia reptilia, bukan lagi sebagai seorang kanak-kanak yang membuat persembahan, tetapi sebagai penjaga buaya sepenuh masa.
PERSONALITI SANG BUAYA
Menjadi seorang pengendali buaya bukan sekadar pertunjukan keberanian, tetapi menuntut disiplin, kefahaman mendalam tentang haiwan tersebut di samping kesabaran yang tinggi.
Menurutnya, berbekalkan pengalaman bertahun-tahun, dia kini memahami bahawa setiap buaya mempunyai personaliti, antaranya pemalu, rajin dan penakut.
“Buaya sangat sensitif terhadap persekitaran. Jika tersalah langkah, ia boleh menyerang dalam sekelip mata. Saya pernah beberapa kali mengalami luka kecil akibat terkena libasan ekor dan gigitan buaya,” katanya.
Bercerita tentang pengalaman beraksi bersama buaya yang diberi gelaran Mat Ali, Saifullah menyifatkannya bukan sekadar pertunjukan, tetapi salah satu kenangan paling berharga dalam hidupnya.
“Hubungan saya dengan Mat Ali bukan sekadar hubungan antara penjaga dan haiwan, malah ia lebih kepada persahabatan.
“Namun, pada tahun 2003, dunia saya seakan runtuh apabila Mat Ali mati akibat radang paru-paru.
“Ketika itu, saya benar-benar patah hati dan saya memutuskan untuk berhenti daripada membuat pertunjukan dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran,” katanya.-UTUSAN









