GAYA hidup yang sibuk dan pemakanan yang tidak sihat mengakibatkan seorang eksekutif di ibu kota mengalami obesiti dengan berat lebih 116 kilogram (kg), 17 tahun lepas.
Namun hari ini perjuangan lelaki ini, Wan Anuar Wan Mahadzir, 45, membebaskan dirinya daripada obesiti itu sehingga mencapai berat badan ideal berlangsung dengan kewujudan sebuah kafe makanan sihat di Jitra, Kubang Pasu, Kedah.
——————————————————
KAFE MY KUNYAH
Pekan Jitra, Kubang Pasu Alor Setar Kedah
Operasi
Sesi 1 – 7.30 pagi hingga 2 petang
Sesi 2 – 5 petang hingga 7 malam
Ramadan – 5 petang hingga 7 malam
————————————————-
Kafe My Kunyah, terletak di tengah-tengah pekan Jitra yang diusahakan bersama isterinya, Rafiah Yusof, 44, itu menyediakan pelbagai makanan sihat dan lazat.

Lebih penting kafe tersebut bukan sekadar menekankan penyediaan makanan yang rendah kalori tetapi turut memfokuskan kepada rasa yang sedap dan pelbagai.
Daripada salad yang segar, smoothie berkhasiat hingga ke hidangan utama yang seimbang, semua pilihan makanan terdapat di My Kunyah untuk mereka yang ingin berdiet.
Tidak ketinggalan, kudapan yang lazat namun masih kekal rendah kalori dan lemaknya sekali gus menjadikan pelanggan My Kunyah menikmati setiap hidangan tanpa rasa bersalah.
Di sini juga terdapat manisan yang tular di pasaran ketika ini seperti brownie, kek, pai, puding dan coklat kunafa namun diolah kepada makanan yang sihat menggunakan bahan bersesuaian dan berkualiti.
Contohnya, terdapat kek keto di My Kunyah apabila resipi makanan ini disediakan mengikut diet keto atau ketogenik iaitu dengan menggunakan bahan rendah karbohidrat sekali gus membolehkan pelanggan menikmatinya tanpa melanggar disiplin pemakanan sihat mereka.
Sesuatu yang unik tentang kafe ini adalah ia dibuka pada dua sesi iaitu pada pukul 7.30 pagi hingga 2 petang bagi sarapan dan makan tengah hari seterusnya 5 petang hingga 7 malam bagi makan malam.
Menurut Wan Anuar, banyak pelanggan yang datang ke kafe tersebut melalui perjalanan transformasi sama seperti dirinya kerana mereka dahulu bergelut dengan obesiti kini berjaya menurunkan berat badan.

“Kafe ini bukan hanya menyediakan makanan sihat tetapi memupuk budaya gaya hidup sihat selain memberi motivasi kepada orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup itu,” kata Wan Anuar yang lebih dikenali sebagai Coach Anuar.
Menurut Wan Anuar, beliau dan isteri menceburi bidang tersebut sejak 10 tahun lalu dengan membuka sebuah studio kecergasan tidak jauh dari lokasi kafe berkenaan.
“Studio ini diuruskan oleh isteri saya dan di satu sudut di studio tersebut saya membuka kaunter menyediakan makanan dan minuman berkhasiat. Setelah 10 tahun kami memberanikan diri untuk membuka kafe ini dengan harapan dapat menginspirasikan lebih ramai pelanggan untuk makan secara sihat.
“Kami mendapat maklum balas yang positif daripada pelanggan yang juga pelanggan tetap My Kunyah kerana mereka bukan sahaja berjaya menurunkan berat badan tetapi kekal sihat,” katanya.
Menurut Wan Anuar, hasratnya adalah untuk menjadikan kafe tersebut bukan sahaja menyediakan makanan sihat tetapi port lepak geng sihat dan aktif dari seluruh negeri ini. – UTUSAN










