Uji ketepatan, konsentrasi dengan memanah

Uji ketepatan, konsentrasi dengan memanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai yang berminat untuk mencuba sukan memanah, namun hasrat itu sedikit terhalang disebabkan lokasinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Segelintir individu mungkin kurang selesa berpanas atau berada di tempat terbuka atas faktor-faktor tertentu.

Kini, tiada lagi masalah kerana anda boleh memanah di kawasan dalam dewan dengan dilengkapi penyaman udara di Stars Archery.

Kebanyakan cawangan pusat memanah ini adalah di pusat beli-belah, lantas membolehkan pengunjung bersantai seketika bersama keluarga dan kawan-kawan setelah berbelanja.

Dengan mengetengahkan konsep memanah tertutup, ia mampu memberi pengalaman yang memuaskan dan menyeronokkan, tanpa perlu risau tentang faktor cuaca serta keselamatan.

Baru-baru ini, saya berpeluang mencubanya bersama rakan di cawangan Stars Archery di Sunway Pyramid.

Kami memilih pakej duo untuk 52 anak panah dan percuma sebanyak lapan lagi.

Bimbingan asas

Memandangkan ini adalah kali pertama saya memanah, jadi tentulah saya kurang faham tentang teknik asasnya.

Usah bimbang, kerana terdapat bimbingan dan penjelasan daripada kakitangan bertugas.

Pengunjung akan diberikan tunjuk ajar oleh tenaga pekerja berpengalaman bagi memastikan mereka memahami teknik memanah yang betul sebelum mencubanya.

Alatan memanah yang disediakan juga mesra pengguna dan sesuai untuk mereka yang baharu berjinak-jinak dengan sukan ini.

Bagi yang kidal seperti saya, terdapat peralatan memanah dan sarung jari khas untuk tangan kiri.

Terapi mata Pada mulanya, saya beranggapan aktiviti memanah senang untuk dipelajari, namun sangkaan itu meleset setelah mencubanya.

Hakikatnya, sukan ini memerlukan lebih daripada sekadar menarik tali busur dan melepaskan anak panah.

Kali pertama mencuba, saya dapati postur badan dan genggaman busur memainkan peranan penting dalam memastikan sasaran dapat dicapai dengan tepat.

Malah, daya tarikan pada tali busur juga perlu dikawal dengan betul agar anak panah tidak tersasar.

Walaupun mencabar, pengalaman ini sangat menyeronokkan, lantas mengajar saya erti kesabaran dan ketekunan dalam memperbaiki teknik dari masa ke masa.

Bukan itu sahaja, ia turut meningkatkan daya tumpuan seseorang menerusi ketepatan dan kawalan minda yang tinggi.

Malah, aktiviti ini membantu memperbaiki koordinasi di antara tangan, mata dan keseimbangan badan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN