KUALA LUMPUR: Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) diminta menjadi penghubung untuk mengeratkan hubungan antara kerajaan negeri dan anak-anak Pahang di perantauan terutama di ibu kota.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, kerajaan negeri juga menga-alukan buah fikiran daripada PEKAP dan anak-anak Pahang di perantauan untuk membangun dan memajukan lagi negeri itu.
“Kalau ada cara nak bangun dan majukan lagi Pahang boleh beritahu, kerajaan negeri sedia menerima pandangan untuk kebaikan semua,” katanya mewakili Menteri Besar Pahang di Majlis Iftar Ramadan PEKAP 2025 di sini.
Sementara itu, Yang Dipertua PEKAP, Datuk Azman Shah Abdullah berkata, PEKAD akan terus memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan dan memperkukuh perpaduan anak-anak Pahang di perantauan.
Beliau berkata, sejak penubuhannya pada 1966, PEKAP telah berkembang menjadi sebuah organisasi besar dengan keahlian hampir 4,000 orang, dan menawarkan pelbagai bentuk kebajikan untuk kesejahteraan anak-anak Pahang di perantauan termasuk dalam bidang pendidikan.
Katanya, antara kebajikan yang disediakan oleh PEKAP termasuk bantuan khairat kematian bagi ahli seumur hidup bernilai RM2,000; bantuan kesihatan dan sokongan kewangan untuk mereka yang pertama kali menunaikan haji.
“PEKAP bukan sekadar sebuah persatuan biasa, tetapi satu platform penting dalam menyatukan masyarakat Pahang yang tinggal jauh dari kampung halaman, memastikan kebajikan mereka terpelihara, serta memberikan bantuan dalam pelbagai aspek kehidupan,” katanya.
Bagi mengukuhkan huungan anak-anak Pahang di perantauan, PEKAP turut mengadakan pelbagai acaran seperti majlis berbuka puasa, sambutan hari raya dan anugerah pelajar cemerlang bagi mendorong generasi muda agar terus berusaha mencapai kejayaan dalam akademik dan kerjaya.
“Memperkukuhkan perpaduan dan jaringan komuniti, PEKAP bukan hanya sebuah persatuan kebajikan, tetapi juga sebuah rangkaian sosial yang kukuh.
“PEKAP bukan sekadar persatuan kebajikan biasa, tetapi sebuah institusi yang berdedikasi dalam memastikan anak-anak Pahang terus maju, saling membantu dan kekal bersatu di perantauan,” katanya. – UTUSAN











