PETALING JAYA: “Anda boleh berada di ranking No. 1 atau No. 2 (dunia) tetapi pergi (menyertai kejohanan) anda mungkin boleh tersingkir di pusingan pertama atau kedua.”
Itu ulasan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menyifatkan pemain badminton negara terlalu berada dalam zon selesa sehingga membuka jalan untuk pulang tanpa kejayaan.
Hannah jelas kecewa selepas melihat cabaran pemain badminton negara di kejohanan Seluruh England berakhir di suku akhir dan menyedari saingan semakin hebat dari seluruh dunia.
“Anda boleh berada di ranking No. 1 atau No. 2 tetapi pergi (menyertai kejohanan) anda mungkin boleh tersingkir di pusingan pertama atau kedua.
“Jadi, ini bukan sahaja trend di Malaysia, kalau kita lihat Victor Axelsen juara Sukan Olimpik pun boleh terkandas. Jadi, kejohanan ini adalah untuk semua. Saya rasa atlet badminton negara kita tidak boleh mengambil kesempatan, tak boleh berada dalam zon selesa,” katanya.
Sandaran utama bagi acara beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turun sebagai pilihan kedua dan bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, gagal memberikan impak yang diharapkan apabila masing-masing terkandas di pusingan kedua dan pertama.
Beregu campuran pilihan kedua kejohanan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut tersingkir di pusingan pertama manakala harapan bagi acara perseorangan lelaki yang diletakkan kepada Lee Zii Jia juga terkandas di pusingan pertama berikutan masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali.
Pencapaian terbaik kem badminton negara kali ini hadir menerusi beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang berjaya mara ke suku akhir.
Sebagai rekod, kali terakhir kem badminton negara tidak mempunyai wakil layak beraksi di peringkat separuh akhir All England pada 2018.
Dalam perkembangan berasingan, Hannah memberitahu, Majlis Sukan Negara (MSN) telah bersetuju untuk menyenaraikan semula sukan boling padang ke dalam program podium. – UTUSAN










