TEHERAN: Iran menggunakan dron dan teknologi digital yang mengganggu untuk menghapuskan perbezaan pendapat, terutama dalam kalangan wanita yang enggan mematuhi peraturan berpakaian ketat di republik Islam itu.
Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, pegawai keselamatan Iran menggunakan strategi ‘kewaspadaan tajaan kerajaan’ untuk menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi telefon khas bagi melaporkan individu yang melanggar kod pakaian dalam kenderaan persendirian seperti teksi dan ambulans.
Laporan baharu itu turut menekankan peningkatan penggunaan dron dan kamera keselamatan untuk memantau pematuhan hijab di Teheran dan selatan Iran.
Di Universiti Amirkabir di Teheran, pihak berkuasa memasang perisian pengecaman wajah di pintu masuk untuk mengesan wanita yang tidak memakai hijab, menurut laporan itu.
Kamera pengawasan di jalan utama Iran juga digunakan untuk mengesan wajah wanita yang tidak menutup aurat.
Penyiasat turut mendapati, polis Iran menawarkan aplikasi telefon bimbit ‘Nazer’, yang membolehkan masyarakat serta pihak berkuasa melaporkan wanita tidak bertudung di dalam kenderaan, termasuk ambulans, bas, kereta metro dan teksi.
“Pengguna boleh menambah lokasi, tarikh, masa dan nombor plat kenderaan di mana pelanggaran hijab didakwa berlaku, kemudian menandakan kenderaan tersebut dalam talian serta memberi amaran kepada polis,” kata laporan.
Laporan mendakwa, pemilik kenderaan berdaftar akan menerima mesej teks yang memberi amaran pelanggaran peraturan berhijab, dan kereta mereka boleh disita jika amaran tidak dipatuhi.
Bagi wanita yang melanggar undang-undang atau membantahnya, mereka didakwa berdepan tindakan tegas seperti penahanan, dipukul dan dirogol dalam penjara, lapor BBC.
Laporan terbaharu Misi Pencarian Fakta Antarabangsa Bebas mendapati kerajaan teokratik Iran bertanggungjawab terhadap ‘keganasan fizikal’ yang menyebabkan kematian Mahsa Amini dalam tahanan pada 2022.
Saksi mendakwa, wanita Kurdis berusia 22 tahun itu dipukul teruk oleh polis moral semasa penahanannya, namun pihak berkuasa menafikan dia dianiaya dan menyalahkan kegagalan jantung secara mengejut sebagai punca kematian.
Kematiannya mencetuskan gelombang protes besar-besaran yang masih berterusan sehingga kini, walaupun terdapat ancaman penangkapan brutal dan pemenjaraan.– BBC










