VEGETABLE Orchestra masih berjaya mengekalkan Rekod Dunia Guinness dimiliki tanpa dicabar dengan keunikan mereka menghasilkan alunan lagu dan bunyi-bunyian eksklusif menggunakan ‘sayur-sayuran segar.
Kumpulan yang terdiri daripada 11 anggota itu ditubuhkan di Vienna, Austria pada 1998 apabila pemuzik daripada pelbagai latar belakang berkumpul dengan idea untuk mengukir sayur-sayuran menjadi alat muzik.
“Semuanya bermula sebagai satu gurauan. Ketika itu empat ahli kami mendaftar untuk sebuah festival seni persembahan di Vienna.

“Kami sedang berfikir apa yang boleh kami lakukan dan kami tertanya-tanya apakah benda paling sukar untuk dimainkan sebagai alat muzik.
“Kebetulan waktu itu kami sedang memasak sup bersama dan satu idea membawa kepada idea lain hingga tercetusnya Vegetable Orchestra,” kata ahli pengasas, Matthias Meinharter.
Walaupun kedengaran aneh, Vegetable Orchestra sudah pun menjayakan 344 konsert sepanjang 27 tahun lalu dan mendominasi seni menghasilkan muzik menggunakan makanan.
Setiap anggotanya akan mula mengukir sayur segar setiap kali menjelang persembahan kerana alat muzik mereka hanya mampu bertahan sekitar enam jam sebelum mula rosak atau kehilangan bentuk.
“Kami percaya setiap bunyi yang dihasilkan tidak mudah dikeluarkan oleh alat muzik lain. Anda boleh mendengar perbezaannya.
“Kadang-kadang ia berbunyi seperti haiwan, kadang-kadang seperti bunyi abstrak,” katanya.
Meinharter menjelaskan, selain sekadar berseronok, tujuan Vegetable Orchestra ditubuhkkan adalah untuk membuktikan muzik boleh dihasilkan daripada pelbagai sumber termasuk dari pasar raya.
“Semua sayur-sayuran dibeli segar pada hari persembahan dan penonton dapat menyaksikan secara langsung bagaimana bunyi alat muzik berubah apabila ia pecah dan mengering di bawah cahaya pentas.
“Antara alat muzik yang biasa kami hasilkan adalah rekoder lobak merah, ‘cucumberphone’ atau alat tiupan dari timun, perkusi terung dan biola leek,” terangnya.
Lebihan sayur-sayuran yang tidak digunakan akan dimasak menjadi sup untuk dihidangkan kepada penonton, manakala alat muzik yang telah digunakan akan dikitar semula sebagai sisa organik, menjadikan konsert mereka ‘mesra alam’.
Vegetable Orchestra turut merakam empat album bermula dengan Gemise pada 1999 diikuti Automate pada 2003, Onionoise (2010) dan yang terbaharu bertajuk Green Album.
Namun anggota orkestra ini sempat memberi amaran tentang satu soalan yang dilarang untuk ditanya semasa konsert mereka.
“Jangan ada sesiapa yang menanyakan sama ada kami adalah vegetarian.
“Jawapannya tidak, kami bukan vegetarian. Jangan tanya lagi. Kami sudah mendengar soalan ini lebih tiga juta kali,” kata mereka sambil tertawa. –UTUSAN










