SOALAN
Abang dan kakak ipar orang yang baik, tetapi saya perasan mereka tidak berpuasa. Beberapa kali, saya ternampak mereka membawa pulang makanan tengah hari. Saya ingin menegur, tetapi tidak tahu cara yang sesuai kerana bimbang ia boleh menimbulkan pergaduhan.
Adik Prihatin.
JAWAPAN
Menegur ahli keluarga dalam perihal agama, khususnya berkaitan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan, bukanlah mudah. Keprihatinan anda mencerminkan keimanan, namun cara menegur perlu dilakukan dengan berhikmah supaya tidak menimbulkan ketegangan dalam keluarga.
Oleh itu, pendekatan yang bijaksana perlu dilakukan untuk memastikan teguran yang diberikan tidak menjejaskan hubungan kekeluargaan:
a)Berkongsi cerita – Semasa berkumpul dengan ahli keluarga, anda boleh kongsikan kisah-kisah inspirasi tentang manfaat berpuasa.
b)Boleh juga pasang video-video ceramah tentang kelebihan berpuasa di rumah tanpa perlu tujukan kepada mereka.
c)Orang tengah – Sekiranya ada ahli keluarga yang lebih rapat dengan mereka, mungkin boleh meminta bantuan mereka untuk menegur secara berhemah (contohnya abang atau ayah).
d)Ajak berbuka puasa bersama – Cuba ajak abang sekeluarga berbuka puasa bersama-sama di rumah atau di luar. Bila mereka berada dalam suasana menikmati berbuka puasa, mungkin hatinya tergerak untuk turut serta.
e)Gunakan media sosial – Jika anda aktif di media sosial, boleh kongsikan poster atau video tentang keindahan puasa tanpa perlu tujukan kepada sesiapa. Kadang-kadang, orang lebih terkesan bila mesej sampai secara tidak langsung.
f)Gunakan anak-anak – Jika anda ada anak saudara atau anak sendiri yang rapat dengannya, boleh meminta bantuan dari anak-anak untuk bertanya dan mengajak bapa saudara mereka untuk berbuka puasa. Kadang-kadang, soalan daripada anak kecil lebih berkesan kerana ia datang tanpa niat menegur.
g)Doakan dengan ikhlas – Doa ialah senjata yang paling kuat. Minta kepada Allah agar dilembutkan hatinya dan diberi hidayah kepadanya.
Kadang-kadang, perubahan datang bukan daripada kata-kata kita, tapi doa yang kita titipkan. Kesimpulannya, menegur ahli keluarga dalam perihal agama memerlukan kebijaksanaan dan kesabaran yang tinggi agar setiap nasihat yang disampaikan dapat diterima dengan baik. Akhir kata, hidayah itu milik Allah, usaha dan doakan yang terbaik.










