PETALING JAYA: Parkson Credit Sdn Bhd (Parkson Credit) melancarkan program nota jangka sederhana Islamik bersandarkan aset (program sukuk wakalah) yang pertamanya sebanyak RM1 bilion bagi memacu pengembangan perniagaannya di negara ini.
Pengerusi Eksekutif Lion Group, Tan Sri William Cheng berkata, kerjasama ini menandakan bab baharu bagi Lion Group, mencerminkan komitmennya terhadap inovasi, daya tahan dan kecemerlangan di dalam memajukan ekonomi Malaysia.
“Perkembangan terbaharu ini juga meluaskan himpunan penyedia modal yang ada kepada Parkson Credit. Fokus utama Parkson Credit kekal kepada pembiayaan motosikal, mewakili kira-kira 99 peratus jualan keseluruhannya.
“Pembiayaan strategik disediakan oleh HSBC akan meningkatkan inisiatif perluasan Parkson Credit dan membolehkannya meluaskan lagi capaian di pasaran baru muncul atau kurang mendapat perkhidmatan, terutama di kawasan pinggiran bandar dan pedalaman di Semenanjung dan Malaysia Timur,” katanya dalam kenyataan.
HSBC Amanah Malaysia Berhad (HSBC Amanah) adalah penasihat utama tunggal, peneraju pengaturan, peneraju pengurus dan penasihat syariah bagi program sukuk wakalah tersebut.
Untuk terbitan tranche permulaan sebanyak RM333.33 juta sukuk wakalah ini, HSBC juga merupakan pemegang sukuk kanan bagi RM250 juta.
Penciptaan alat kewangan inovatif ini menyatukan kewajipan hutang dan menawarkan kaedah pelaburan tambahan bagi pelabur di dalam pasaran modal Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Ketua Perbankan HSBC Malaysia, Datuk Omar Siddiq berkata, dengan Parkson Credit memacu pertumbuhan, satu rumusan pembiayaan berskala dan boleh diguna pakai menjadi amat penting untuk mencapai matlamat-matlamat perluasannya.
“Produk kewangan inovatif HSBC Amanah menawarkan penerbitan hutang (sukuk) disokong oleh terimaan sewa beli secara Islam, membuka laluan bagi pembiayaan sewa beli motosikal.
“Mengambil faedah daripada kepakaran penyusunan struktur antarabangsa kami, urus niaga ini menunjukkan keupayaan kami untuk membuka sumber modal baharu dan menghubungkan pelanggan kepada peluang-peluang pembiayaan Islamik,” ujarnya.-UTUSAN










