Tun Laila tidak lokek sebar ilmu guaman

Tun Laila tidak lokek sebar ilmu guaman

Tun laila
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aktif berkongsi ilmu perundangan di media sosial, peguam muda ini semakin dikenali sebagai figura yang mendidik masyarakat tentang hak dan undang-undang.

Tun Laila Tun Rafaee, 27, pada awalnya menempuh laluan akademik dalam jurusan sains, namun minatnya terhadap undang-undang menjadi titik tolak yang membawa perubahan besar dalam hidupnya.

Minat itu bukan sekadar keinginan sementara, tetapi sebuah kesedaran mendalam yang mendorongnya untuk membuat keputusan berani dengan mengorak langkah ke bidang guaman.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dengan sokongan penuh daripada keluarganya, Tun Laila memilih untuk mengejar impian dan mengabdikan diri dalam dunia perundangan.

Menyedari bahawa ramai rakyat Malaysia masih kurang memahami hak-hak mereka yang termaktub dalam undang-undang, Tun Laila memilih media sosial sebagai alat untuk menyampaikan maklumat dengan lebih mudah dan meluas.

Katanya, arus kehidupan yang semakin pantas dan kompleks menjadikan kesedaran terhadap undang-undang sesuatu yang amat penting.

“Kita sering terlepas pandang hak-hak kita yang termaktub dalam undang-undang. Media sosial membolehkan interaksi lebih luas dan menjadikan ilmu perundangan lebih mudah diakses,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun, mengimbangi tugas sebagai seorang peguam dengan usaha mendidik masyarakat bukan sesuatu yang mudah.

Menurut anak ketujuh daripada lapan adik beradik ini, kekangan masa menjadi cabaran utama kerana tugas guaman sendiri sudah cukup mencabar.

Menjadi seorang peguam dan sama seperti profesion yang lain, sudah tentu memakan tenaga dan masa yang banyak.

“Oleh itu, saya perlu mencari masa yang membolehkan saya untuk membina atau mencipta kandungan untuk tujuan mendidik kita semua khususnya berkenaan dengan isu-isu yang melibatkan undang-undang,” katanya.

Selain kekangan masa, Tun Laila juga berhadapan dengan kecaman dan kritikan, yang baginya adalah lumrah apabila berkongsi ilmu kepada khalayak umum.

Teguh dengan prinsipnya, beliau terus berusaha menyebarkan ilmu kepada masyarakat, yakin bahawa pengetahuan undang-undang wajar dikongsi dan dimanfaatkan oleh semua.

INSPIRASI

Berkongsi tentang perjalanan kerjayanya, Tun Laila berkata, setiap individu yang ditemuinya membawa inspirasi tersendiri, sama ada dalam bentuk teladan, ilmu, mahupun pengalaman yang berharga.

Baginya, setiap pertemuan membuka ruang untuk belajar dan berkembang, menjadikannya lebih matang dalam mengharungi dunia guaman dan kehidupan secara keseluruhan.

“Saya berjumpa dengan ramai orang, dan saya percaya setiap daripada mereka meninggalkan sesuatu yang bermakna. Ini sedikit sebanyak membentuk siapa saya hari ini.

“Namun, antara yang paling memberi inspirasi ialah mentor saya, Puan Aminahtul Mardiah. Beliau bukan sahaja seorang peguam yang berilmu, tetapi juga seorang yang berwibawa dan berintegriti.

“Saya bertuah dapat belajar daripadanya, dan saya bertekad untuk menyampaikan ilmu yang saya peroleh kepada orang lain,” ujarnya.

Sebagai seorang pempengaruh dalam bidang perundangan, Tun Laila berhasrat untuk terus mendalami ilmu guaman agar dapat menjadi peguam yang lebih berwibawa serta memberi manfaat yang lebih besar kepada masyarakat.

Selain itu, dia bersama mentornya kini dalam proses melengkapkan siri kedua Terpaling Suci, sebuah inisiatif yang bertujuan memberikan pendedahan lebih mendalam tentang perjalanan sesuatu kes di mahkamah, dengan cara yang lebih mudah difahami oleh orang ramai.

“Siri ini berkonsepkan pendidikan dengan pendekatan lakonan bagi menarik minat orang ramai untuk memahami proses serta perjalanan sesuatu kes yang dibicarakan di mahkamah

“Saya berharap dengan adanya inisiatif seperti ini, lebih ramai orang akan sedar bahawa undang-undang bukan sekadar untuk peguam, tetapi untuk semua orang,” katanya.

Menjadi inspirasi kepada golongan muda, Tun Laila berpesan kepada mereka yang ingin berjaya dalam bidang guaman atau apa jua profesion agar sentiasa percaya pada diri sendiri dan tidak mudah berputus asa.

“Bidang guaman menuntut kecekalan mental yang tinggi. Ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi dengan usaha yang berterusan, kejayaan pasti dapat dicapai.

Jangan takut untuk mencuba, dan pastikan diri dikelilingi oleh individu yang positif serta mampu memberikan dorongan yang membina,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini