Peniaga lemang kekal harga, tidak terjejas kenaikan kos santan

Peniaga lemang kekal harga, tidak terjejas kenaikan kos santan

ROSLI Mohd. Natin (kanan) bersama pelanggan yang membuat tempahan lemang di gerainya di Lambor dekat Parit, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Walaupun berdepan kenaikan harga santan, seorang peniaga lemang di Lambor di sini tidak berhasrat untuk menaikkan harga jualannya termasuk semasa hari raya nanti.

Rosli Mohd. Natin, 60, berkata, dia masih menjual lemang pada harga antara RM10 hingga RM12, sebatang mengikut saiz.

Mengakui harga jualan itu hanya memberikan sedikit keuntungan buatnya, Rosli berkata, dia percaya harga yang ditawarkan mampu menarik ramai pelanggan.

 “Saya belum bercadang untuk menaikkan harga lemang buat masa ini, masih harga lama RM10 hingga RM12 sebatang mengikut saiz. 

“Memang harga barang naik, semuanya naik. Buluh lemang naik daripada RM1 kepada RM2.50 sebatang, harga beras pulut dan daun pisang pun naik.

“Harga santan naik sehingga RM18 dan RM20 sekilogram, kalau ikutkan memang saya kena naikkan harga lemang namun saya percaya dengan harga lama saya masih dapat keuntungan.

“Jumlah yang rendah akan menarik ramai pelanggan, untung sedikit tak apa asalkan pelanggan dapat membeli lemang semasa raya nanti,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, setakat ini dia sudah menerima tempahan lemang daripada pelanggan untuk hari raya nanti.

Katanya, apa yang menjadi kebimbangannya adalah jika bekalan santan tidak cukup untuk membuat lemang menjelang hari raya nanti.

“Untuk kali ini, saya membuat persediaan awal bagi memastikan tempahan pelanggan untuk hari raya dapat disiapkan. Tempahan memang tinggi setiap kali raya, sampai tak menang tangan nak membakar lemang.

“Jika ikutkan saya nak membakar banyak lemang, mungkin beratus batang sekali bakar tetapi saya bimbang tidak cukup santan. Jadi semuanya bergantung kepada bekalan santan menjelang proses membakar lemang semasa dekat hari raya nanti,” katanya.

Menurutnya, gerai jualannya di tepi jalan Jambatan Lambor memudahkan pelanggan datang membeli lemang khususnya dari Kampung Rimba Raja, Lambor Kanan dan Lambor Kiri, Bota  dan Kampung Gajah.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×