Tempahan slot berganda PUSPAKOM tidak lagi dibenarkan

Tempahan slot berganda PUSPAKOM tidak lagi dibenarkan

ANTHONY Loke Siew Fook (tengah) mengadakan tinjauan ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tempahan slot berganda untuk urusan pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) ti­dak lagi dibenarkan bagi menutup ruang penyalahgunaan oleh runner atau orang tengah yang mengaut keuntungan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu diambil susulan terdapat individu yang menempah slot pemeriksaan sebelum menjualnya kepada pihak lain bagi meraih keuntungan berlebihan.

Katanya, tindakan sedemikian bukan sahaja membebankan pemilik kenderaan malah menjejaskan kecekapan sistem tempahan pemeriksaan kenderaan.

“PUSPAKOM akan menambah baik sistem tempahan dengan membekukan slot pemeriksaan asal sekiranya ia ditunda ke tarikh lain.

“Ia bagi mengelakkan slot asal daripada disalahgunakan atau dijual kepada pihak lain,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di PUSPAKOM Wangsa Maju, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, pihaknya turut mengesan kes tempahan berulang oleh pemilik kenderaan termasuk situasi di mana sebuah kenderaan membuat lebih daripada satu tempahan pada tarikh sama.

Katanya, situasi itu menyukarkan pemilik kenderaan lain untuk mendapatkan slot pemeriksaan yang diperlukan dalam tempoh singkat.

“Sebagai contoh, kenderaan dengan nombor pendaftaran ABC123 membuat empat tempahan pada tarikh sama, tetapi hanya satu slot sahaja akan dibenarkan.

“Langkah ini bagi memastikan sistem tempahan lebih adil dan mengelakkan penyalahgunaan oleh pihak tertentu,” katanya.

Selain itu, katanya, Kementerian Pengangkutan (MOT)  turut mengarahkan PUSPAKOM meningkatkan kapasiti pemeriksaan bagi memenuhi keperluan semasa pengguna.

“PUSPAKOM akan meningkatkan kapasiti pemeriksaan kepada 15,500 kenderaan sehari berbanding hanya 13,500 sebelum ini,” katanya.  

Menurut Anthory Loke, MOT turut mengambil beberapa langkah lain bagi membantu PUSPAKOM dan pemilik kenderaan dalam menangani isu kesesakan dan kesukaran mendapatkan slot pemeriksaan.

Beliau berkata, pihaknya memperkenalkan konsep deklarasi kendiri terhadap beberapa bahan pemeriksaan yang tidak membabitkan aspek keselamatan.  

“Lima bahan dikenal pasti untuk dikeluarkan daripada senarai pemeriksaan mandatori, antaranya tanda badan kenderaan, tanda had laju, kit bantuan kecemasan dan nombor pendaftaran bagi kenderaan perkhidmatan awam.  

“Sebelum ini kenderaan boleh gagal pemeriksaan kerana masalah badan kenderaan tidak teratur walaupun tidak menjejaskan keselamatan,” katanya.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini