PETALING JAYA: Skuad terjun negara akan meneruskan pelan asal yang dirangka sebelum ini dengan tumpuan utama dalam kategori platform wanita.
Pengarah Teknikal Terjun negara yang baharu, Yeoh Ken Nee berkata, hala tuju skuad terjun negara akan kekal meneruskan visi yang telah ditetapkan oleh pengendali terdahulu, Brian Nickson Lomas
Katanya, fokus utama pasukan buat masa ini adalah kepada acara platform, khususnya kategori wanita, di mana atlet negara telah membuktikan keunggulan mereka di pentas antarabangsa.
“Sejarah telah menunjukkan bahawa kejayaan kita banyak datang daripada acara platform wanita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Bekas penerjun negara itu juga berkata, tumpuan juga diberikan kepada pembangunan bakat baharu bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan skuad terjun negara.
“Kami mahu memastikan ada kelompok penerjun pelapis yang mampu bersaing dengan senior, sekali gus menjadi sandaran masa depan.
“Kita mahu asas bakat yang lebih luas agar mempunyai lebih banyak pilihan untuk diketengahkan dalam kejohanan besar,” jelasnya.
Dalam masa terdekat, skuad terjun negara akan turun beraksi dalam dua kejohanan penting, iaitu Piala Dunia di Mexico dan Kanada pada awal April ini.
“Persiapan berjalan lancar dan kami harap penerjun kita dapat memberikan aksi terbaik di pentas dunia,” katanya.
Sebelum ini, Ken Nee secara rasmi dilantik sebagai Pengarah Teknikal program terjun kebangsaan sekaligus menamatkan spekulasi mengenai siapa yang bakal mengisi jawatan itu sejak beberapa minggu lalu.
Pelantikan Ken Nee menggantikan Bryan Nickson Lomas, yang sebelum ini mengendalikan program tersebut sejak Oktober 2023 sebelum mengambil keputusan untuk menerima tawaran sebagai jurulatih di luar negara. – UTUSAN











