Zeti warisi minat bonda berbaju kurung

Zeti warisi minat bonda berbaju kurung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali sambutan Aidilfitri, tokoh budayawan dan wartawan, Allahyarhamah Azah Aziz sentiasa memastikan keluarganya memakai baju kurung tradisional di pagi Syawal.

Justeru, tidak hairanlah budaya itu kekal diwarisi oleh anaknya, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz yang sentiasa bangga dan selesa mengayakan baju kurung tradisional dalam apa jua majlis.

“Baju kurung pula mestilah yang lengkap dengan pesak, kekek dan sulaman pada leher seperti tulang belut, tetapi kini sukar untuk mencari tukang jahit yang pakar dalam menghasilkan semua ini.

“Sebab itulah saya tiada pereka fesyen khas sebaliknya saya ada pelbagai tukang jahit yang mengambil tempahan untuk menjahit baju kurung saya,” katanya selepas melancarkan buku tulisan ibunya, Rupa dan Gaya: Busana Melayu dalam edisi bahasa Inggeris di Sasana Kijang, baru-baru ini.

Buku berkenaan diterbitkan oleh Tita Publications dengan kerjasama penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Hadir sama, Pengerusi Permodalan Malaysia Berhad (PNB), Raja Tan Sri Arshad Raja Uda; Timbalan Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan lnovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Wan Kamal Mujani serta Sasterawan Wanita Pertama Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Tampil anggun dengan baju kurung hitam berleher tulang belut dan selendang tenun rona merah, Zeti Akhtar berharap, generasi hari ini menghargai tekstil dan pakaian tradisional Melayu yang diwarisi daripada nenek moyang.

Bagi meningkatkan kesedaran itu, pada 2014, beliau mengambil inisiatif menterjemahkan buku tulisan ibunya yang pernah diterbitkan pada 2006 ke dalam bahasa Inggeris.

Kerja-kerja itu bagaimanapun hanya selesai selepas 10 tahun.

“Apa yang mendorong saya menterjemahkan hasil kerja Allahyarham adalah untuk berkongsi kekayaaan warisan Melayu dengan komuniti antarabangsa.

“Bahagian paling sukar adalah mencari istilah yang sesuai bagi jenis kain misalnya telepuk yang diterjemahkan sebagai gilded dan saya percaya ia adalah terjemahan pertama istilah itu dalam bahasa Inggeris.

“Di belakang buku ada glosari, jadi, pembaca dapat memahami semua istilah berkaitan tekstil Melayu,” katanya.

Nilai asas penggerak
Sementara itu, Zeti Akhtar berkata, buku berkenaan memaparkan keindahan warisan tekstil Melayu menerusi tiga nilai asas dalam masyarakat Melayu yang menjadi daya penggerak dan inspirasi untuk menghasilkan tekstil.

Pertama ialah penghormatan terhadap alam semula jadi dan hubungan dengan persekitaran kerana orang Melayu sentiasa terikat dengan keindahan alam yang merangsang deria.

“Ia tidak hanya dizahirkan di dalam tekstil yang indah dan mengagumkan tetapi juga cara mereka menggayakan pakaian.

“Seperti yang dapat dilihat menerusi motif, corak dan warna, sejak zaman dahulu lagi terdapat kesedaran untuk menghargai serta memelihara alam dan persekitaran, jauh sebelum kemampanan alam sekitar menjadi agenda global,” katanya.

Ujarnya, satu lagi agenda penting yang ditekankan oleh orang Melayu dalam penciptaan seni tekstil adalah nilai estetik yang mencerminkan persepsi, imaginasi dan citarasa halus mereka.

Sejak peradaban awal, mereka terus menghargai, menikmati dan mengagumi keindahan yang memikat.

Antara nilai halus yang diwarisi oleh orang Melayu sejak zaman dahulu, adalah rasa tanggungjawab untuk melakukan kebaikan.

“Ini adalah inti kepada perkataan budi, sebuah istilah warisan Sanskrit yang bermaksud cara hidup yang disemai dengan nilai dan tingkah laku.

“Perkataan ini mempunyai tempat istimewa dalam budaya orang Melayu, malah tiga pantun dalam buku ini turut menyebut tentangnya,” katanya.

Cik Siti Wan Kembang
Bagi muka depan Rupa dan Gaya: Busana Melayu, Azah Aziz memilih imej Cik Siti Wan Kembang, pemerintah lagenda abad ke-17 di Kelantan yang memakai busana tradisional.

Butiran busana itu diambil daripada maklumat manuskrip Melayu lama.

Terdahulu, katanya, buku itu memaparkan tekstil Melayu yang dihasilkan dengan pelbagai motif dan lebih 100 warna.

“Untuk rona merah sahaja ada lebih 30 warna, sekali gus menunjukkan imaginasi dan perspektif yang tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu dalam berkongsi warisan budaya dalam cara yang indah.

“Walaupun ibu boleh berbahasa Inggeris dengan baik tetapi saya fikir kekuatannya adalah dalam bahasa Melayu,” katanya.

Muzium Tekstil
Semasa pelancaran buku berkenaan, Raja Arshad turut mengumumkan pembukaan Muzium Tekstil Merdeka di bangunan Merdeka 118, tidak lama lagi.

Ia sebagai tanda penghormatan besar kepada Allahyarhamah di atas usaha sepanjang hayatnya memelihara tradisi Melayu.

Istimewanya, muzium itu bakal dinobatkan sebagai muzium tekstil tercanggih pertama di Asia, dengan mempamerkan 240 tekstil dan pakaian di samping 69 barangan kemas yang pernah dimiliki tokoh tersebut.

“PNB berbangga menjadi pemegang amanah bagi koleksi luar biasa ini yang bakal menyerlahkan kehebatan dan kehalusan seni tekstil kita kepada dunia.

“Muzium ini akan mengguna pakai teknologi canggih termasuk media interaktif, sensor pergerakan, analisis data dan cahaya pintar untuk membawakan pengalaman yang dinamik serta menarik kepada pengunjung dari segenap lapisan usia dan negara,” katanya.

Sementara itu, Zeti Akhtar gembira dengan penubuhan muzium berkenaan bagi memaparkan koleksi tekstil dan barang kemas milik ibunya.

“Secara tidak langsung, usaha ini akan membolehkan koleksi itu dikongsi bersama rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa.

“Penggunaan teknologi canggih membolehkan pengunjung menikmati pengalaman lebih ‘hidup’. Sebagai contoh, mereka akan dapat menghidu haruman bunga yang dijadikan motif dalam tekstil Melayu dengan hanya menekan butang disediakan.

“Jadi, generasi baru akan faham apa yang kita ada dulu kala dan haruman daripada bunga yang dijadikan motif di atas tekstil kita seperti kain tenunan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×